Selasa, 4 Februari 2020 | 3:51pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika berucap pada Majlis Town Hall Maqasid Syariah bersama warga kerja Kementerian Kesihatan di kementerian itu. - Foto BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika berucap pada Majlis Town Hall Maqasid Syariah bersama warga kerja Kementerian Kesihatan di kementerian itu. - Foto BERNAMA

Tak tolak kemungkinan jumpa Sajat - Mujahid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak menolak kemungkinan akan menemui Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat apabila ahli perniagaan itu pulang ke negara ini selepas menunaikan umrah.

Mujahid berkata, bagaimanapun sebarang keputusan lanjut akan ditentukan selepas pihaknya mendapat penjelasan lengkap terhadap insiden yang berlaku membabitkan ahli perniagaan itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini pihaknya sudah bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan segera terhadap video dan gambar dimuat naik Sajat dalam pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah, tular di media sosial.

“Isunya dia (Sajat) tak balik lagi, kita sudah menyebut semalam bahawa alternatif yang ada (usaha) dengan SKMM dan agensi itu sendiri terhadap apa-apa kemungkinan.

“Sehingga semua itu jelas dan nyata barulah saya akan fikir isu yang datang seperti soalan yang diajukan ini, ” katanya kepada pemberita di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Sajat yang bertelekung ketika mengerjakan ibadat umrah dan berkongsi perbuatannya tanpa rasa bersalah menerusi media sosial, menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Mengulas kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia rentetan isu itu, Mujahid berkata, sebab itulah mana-mana jemaah Haji atau umrah disyaratkan untuk menjaga kesopanan dan imej negara.

Beliau berkata, adalah penting bagi jemaah dari negara ini menghormati undang-undang ditetapkan Arab Saudi, apatah lagi kerajaan mereka amat tegas dalam soal ‘lelaki berpakaian wanita.’

“Kenalah patuh apa sahaja arahan diberi khususnya di Makkah dan Madinah kerana ia undang-undang di Arab Saudi.

“Maka kena hormati (undang-undang) itu hingga kita selalu berpesan kepada mana-mana agensi pelancongan supaya hormat undang-undang di sana,” katanya.

Mujahid berkata, walaupun perkara itu termaktub dalam undang-undang yang perlu dipatuhi di sana, namun ia bukan perkara yang boleh menghalang Sajat untuk kembali ke jalan benar.

“Apa yang saya sebut itu (mengenai undang-undang) tidak menghalang dia untuk kembali. Itu dua perkara berbeza.

“Jangan kaitkan apabila saya sebut mengenai undang-undang seolah-olah kita nak menghukumnya.

“Walaupun ia undang-undang (kesalahan memakai pakaian wanita), hal itu tidak menghalang (kembali ke jalan benar) dan ruang diberikan untuknya bagi rahmah ( toleransi, persefahaman dan kasih sayang), ” katanya.

Terdahulu, Mujahid menyerahkan cecair pembersih tangan dan tisu basah kepada masjid di seluruh Wilayah Persekutuan di sini.

Sebanyak 1,000 botol kecil cecair pembersih tangan dan tisu basah diagihkan kepada 18 masjid di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk di Labuan.

Berita Harian X