Selasa, 4 Februari 2020 | 5:07pm
NUR Sajat bersama keluarga. FOTO Ihsan Instagram Nur Sajat
NUR Sajat bersama keluarga. FOTO Ihsan Instagram Nur Sajat

Kementerian boleh batalkan lesen agensi pelancongan bawa Sajat

PUTRAJAYA: Lesen agensi pelancongan yang menguruskan umrah usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang mencetuskan kontroversi ketika berada di Tanah Suci, boleh dibatalkan jika mengulangi kesilapan sama pada masa depan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pegawainya akan bertemu dengan pengurusan agensi terbabit dan menasihatkan mereka untuk lebih teliti dengan pengurusan jemaah umrah.

“Kita akan hubungi agensi itu. Beri dia amaran. Dia buat sekali lagi, lesennya akan dibatalkan.

“Ia sesuatu yang bukan ringan untuk dibuat oleh ejen pelancongan. Mereka dinasihatkan untuk menjaga tata cara perniagaan mereka dijalankan, termasuk kawal kumpulan yang mereka kendalikan agar mereka mematuhi undang-undang sepanjang berada di luar negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan pertama Jawatankuasa Bertindak Pemulihan Pelancongan, di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata, agensi pelancongan perlu lebih teliti memastikan jantina jemaah yang diuruskan sebelum mereka ke Tanah Suci.

“Saya fikir mereka perlu lebih teliti sedikit untuk mengenali lelaki atau perempuan. Perempuan itu perempuan ke dia? Atau laki-laki.

“Takkan dia tak kenal. Tetapi kalau dia kenal perempuan itu lelaki dan lelaki itu perempuan, disebabkan nak ‘bisnes’ mereka bawa saja kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof kesal dengan Muhammad Sajad atau dikenali sebagai Sajat, yang berpakaian seperti wanita ketika berada di Tanah Suci ketika mengerjakan umrah.

Mujahid dilaporkan berkata, tindakan Sajat itu menjejaskan imej sebagai seorang lelaki secara biologi dan yang tertera di kad pengenalannya, tetapi berpakaian seperti wanita ketika di Makkah.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada jemaah dan mereka yang menyaksikan perbuatan Sajat itu, berikutan dengan berpakaian wanita, usahawan kosmetik itu bergaul dan berada di ruang solat untuk wanita.

Berita Harian X