Rabu, 5 Februari 2020 | 6:37pm
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang. - NSTP/Ihsan Yadim
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang. - NSTP/Ihsan Yadim

Ibadah umrah Sajat mungkin tidak sah

ALOR SETAR: Ibadat usahawan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman atau Nur Sajat di tanah suci berkemungkinan tidak sah.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata hal ini disebabkan kemungkinan besar berlaku perbuatan bersalam-salaman dan berpelukan antara Nur Sajat dan jemaah wanita lain yang bukan mahramnya.

Katanya, jika benar perkara terbabit terjadi maka wuduknya terbatal.

“Dalam keadaan wuduknya yang terbatal itu, sekiranya dia mengerjakan ibadah tawaf umrah maka tawafnya tidak sah.

“Ini kerana syarat sah tawaf hendaklah dalam keadaan berwuduk. Dalam situasi ini seandainya dia terus melakukan ibadah saie dan bertahalul, ibadah umrahnya masih belum sempurna,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai hukum wanita yang bersalaman dengan Nur Sajat, Syeikh Fadzil, berkata wuduk mereka tidak terbatal kerana dalam keadaan tidak mengetahui identiti sebenar beliau.

Bagaimanapun katanya, bagi jemaah wanita yang mengenalinya tetapi masih bersalaman dan bersentuhan dengan beliau, maka wuduk mereka akan terbatal.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya dalam keadaan itu Nur Sajat kembali ke tanah air, beliau sebenarnya masih terikat dengan larangan ihram seperti memotong kuku, memotong rambut, berwangi-wangian atau memakai pakaian berjahit termasuk menutup kepala dan sebagainya.

“Setiap kali beliau melakukan mana-mana larangan ihram terbabit yang bersifat itlaf maka dikenakan dam.

“Untuk bebas daripada larangan ihram, beliau hendaklah melakukan tahalul ihsor. Bagaimanapun, jika beliau berkemampuan, beliau hendaklah pergi semula ke tanah suci untuk menyempurnakan ibadah umrahnya,” katanya.

Sementara itu, Syeikh Fadzil, berkata tiada larangan kepada golongan berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah dengan syarat mereka perlu berpakaian dan mengikut peraturan bersesuaian dengan jantina asal mereka.

Berita Harian X