Khamis, 6 Februari 2020 | 12:59pm

Pelaksanaan PPSMI belum diputuskan lagi - Tun Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan enggan mengulas lanjut mengenai sama ada ia program diadakan semula atau dengan penambahbaikan, manakala Program Dwibahasa (DLP) masih diteruskan sehingga itu.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti bagaimana penerangannya berkaitan PPSMI kepada pegawai di Kementerian Pendidikan boleh diketahui umum seolah-olah kerajaan sudah membuat keputusan mengenainya.

Menurutnya, kerajaan masih mempertimbangkan sama ada PPSMI akan dilaksanakan di sekolah atau sebaliknya.

“Saya dapati ada disiar bahawa kerajaan tentukan Sains (dan) Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya kita belum buat keputusan.

“Sebenarnya saya hanya beri penerangan sahaja dalam kementerian, entah macam mana terbocor dan seolah-olah Kerajaan putuskan ini.

“Kerajaan masih menimbang. Kita buat keputusan mengikut majoriti anggota kabinet, sekiranya ada tentangan kita akan tangguhkan. Kalau setuju, pelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.

Ditanya bagaimana untuk meyakinkan masyarakat Melayu dan persatuan seperti Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap kepentingan pelaksanaan PPSMI, Dr Mahathir berkata, walaupun boleh menggunakan bahasa sendiri, ilmu Sains tidak dapat dikuasai sepenuhnya kerana ia bukan sesuatu statik seperti mata pelajaran Sejarah dan Geografi.

Katanya, ia adalah ilmu yang tidak berhenti berkembang dan jika tidak mengikut apa yang diperkenalkan ketika ini, negara akan ketinggalan.

“Hari ini ada industri pun bergantung kepada yang lain. Seperti kita tahu pada mulanya kita buat kerja tangan, manual work. Selepas itu kita belajar nak gunakan mass production (pembuatan secara besar-besaran), cara mekanikal. Selepas itu kita gunakan robot.

“Dan sekarang ini kita memasuki era digital. Ia tidak berhenti. Pelajaran lama tidak boleh diguna pada masa ini. Kalau kita tidak ikut apa yang diperkenalkan pada masa ini kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau juga berharap supaya semua sekolah vernakular juga menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir berkata, sekiranya dilaksanakan, kerajaan akan memperkenalkan cara baharu dalam PPSMI.

“Pengajaran akan disediakan oleh pakar-pakar sama ada di luar atau dalam negara menerusi pemacu kilat (thumbdrive) dan ditayangkan di dalam bilik darjah mengikut subjek,” katanya

Dr Mahathir berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan daripada pihak awam berhubung isu PPSMI.

“Kami alu-alukan pendapat orang awam, pemberita juga boleh tulis artikel panjang mengkritik mengenainya. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pelajar juga boleh tulis nyatakan pendapat mereka, kami tak sekat,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucapan amanatnya berkata, kejayaan dan kemajuan sebagai satu bangsa bukan hanya ditentukan oleh bahasa kebangsaan sahaja.

“Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu. Tetapi, kita perlu beri pertimbangan kepada kemajuan bangsa.

“Sebenarnya, jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.

“Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata ‘sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan.’ Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih daripada hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia mempunyai tiga kaum utama yang mengajar menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

“Jika bahasa Kebangsaan diguna untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan (SK), maka sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) akan guna bahasa Mandarin dan (SJKT) India guna bahasa Tamil.

“Dan dalam bidang sains, ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa Kebangsaan, Mandarin dan Tamil boleh berbincang sesama mereka (jika penggunaan bahasa tidak sama),” katanya.

Dr Mahathir berkata, bahasa yang kerap diguna dalam industri dan konferensi sains adalah bahasa Inggeris dan ia akan menyukarkan mereka untuk memahami arahan sekiranya tidak faham bahasa Inggeris.

Pemahaman sains dalam bahasa Inggeris katanya, memudahkan seseorang memahami arahan yang diberi berikutan bahasa itu kerap diguna dalam industri.

Biarpun ia boleh diterjemah ke bahasa Melayu, namun perkataan digunakan bukan bahasa Inggeris biasa, justeru terjemahannya mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.

‘"Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi sains antarabangsa kerap diadakan,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, sains bukan satu ilmu yang statik, sebaliknya ada sahaja perkara baharu yang dikenali dan dibangunkan setiap hari.

Berikutan itu, katanya, amat sukar untuk memahami, menterjemah dan mentafsirkan ke dalam bahasa Melayu.

Katanya, negara juga tidak mungkin mempunyai pakar sains yang akan menterjemahkan, berpuluh-puluh kertas hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang setiap hari.

“Jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu, kita akan ketinggalan kerana tidak mengguna ilmu ini. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baharu yang dicipta,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia mempunyai tiga kaum utama yang mengajar menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

“Jika bahasa Kebangsaan diguna untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan (SK), maka sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) akan guna bahasa Mandarin dan (SJKT) India guna bahasa Tamil,” katanya.

PERDANA Menteri Merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas Majlis Amanat & Aspirasi bersama Waga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC). NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
PERDANA Menteri Merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas Majlis Amanat & Aspirasi bersama Waga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC). NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X