Khamis, 6 Februari 2020 | 3:31pm

AUKU akan diganti dengan undang-undang lebih baik

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih baik dan komprehensif, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, usaha itu selaras dengan Janji 50 Kerajaan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pendidikan tinggi.

“Akta baharu itu apabila berkuatkuasa kelak akan memberi penekanan kepada kualiti dan kecemerlangan universiti bagi mewujudkan institusi pengajian tinggi yang peka dan berupaya untuk bertindak balas dengan keperluan perubahan persekitaran,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, bersesuaian dengan usaha transformasi pendidikan tinggi negara, beliau berharap Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) dapat diaktifkan semula untuk memantapkan sistem tadbir urus dan pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi baharu yang sedang digubal.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata sinergi ekosistem penyelidikan dan inovasi akan ditambah baik pada tahun ini selaras dengan peruntukan RM400 juta yang disediakan untuk penyelidikan, bagi membolehkan universiti menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan terhadap pengukuhan kolaborasi dengan institusi yang disenaraikan sebagai Top 100 di dunia oleh QS World University Rankings.

Dalam menggalakkan penyelidikan yang dipacu permintaan atau ‘demand driven’, katanya pelaksanaan Public Private Research Network 2.0 (PPRN 2.0) dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS 2.0) pada tahun ini akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi industri kecil sederhana (SME) melalui bidang berasaskan teknologi.

Dr Mahathir juga berkata kementerian telah membangunkan dokumen 'Way Forward for Private Higher Education Institutions (PHEIs): Education as An Industry (2020-2025)' yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi menjadi sumber rujukan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dalam menentukan hala tuju menjelang tahun 2025.

WARGA Kementerian Pendidikan mendengar amanat dan aspirasi yang disampaikan oleh Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto BERNAMA
WARGA Kementerian Pendidikan mendengar amanat dan aspirasi yang disampaikan oleh Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto BERNAMA
Berita Harian X