Jumaat, 7 Februari 2020 | 1:26pm
Lebih banyak syarikat F&B diminta untuk menyokong usaha kerajaan menjayakan sifar penggunaan plastik pakai buang menuju tahun 2030. - Foto hiasan
Lebih banyak syarikat F&B diminta untuk menyokong usaha kerajaan menjayakan sifar penggunaan plastik pakai buang menuju tahun 2030. - Foto hiasan

Insentif bagi syarikat F&B tak guna plastik pakai buang

PETALING JAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada syarikat makanan dan minuman (F&B) yang bersedia mengubah model perniagaan dengan memberi komitmen terhadap sifar penggunaan plastik pakai buang.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majlis, berkata cadangan itu akan diketengahkan dalam Kabinet jika banyak syarikat F&B berminat mengurangkan penggunaan plastik pakai buang dalam pengeluaran produk mereka.

“Kita akan bawa dan bincangkan mengenai perkara ini, ia adalah cadangan yang baik sebagai galakan kepada lebih banyak syarikat menggunakan produk guna semula dalam operasi perniagaan mereka.

“Apabila ada syarikat yang memulakannya saya pasti lebih ramai yang lain akan turut serta,” katanya pada sidang media selepas pelancaran cawan 'bubble tea' guna semula tanpa penyedut pertama di Malaysia oleh jenama teh gaya hidup, Tealive, di sini.

Beliau berkata, lebih banyak syarikat F&B diminta untuk menjalankan inisiatif seumpamanya bagi menyokong usaha kerajaan menjayakan sifar penggunaan plastik pakai buang menuju tahun 2030.

Pada masa sama, pihaknya juga mengalu-alukan inisiatif Tealive untuk mengurangkan penggunaan plastik pakai buang yang disifatkan sebagai pembaziran sumber dan merosakkan alam sekitar yang mana cawan dan penyedut minuman itu akan berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Lebih ramai pengguna kini menyedari impak penggunaan plastik pakai buang terhadap alam sekitar justeru diharap banyak lagi syarikat F&B akan menawarkan pilihan yang membolehkan pelanggan menyokong pendirian kerajaan, ” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan Circular Economy Roadmap (CER) bagi barangan plastik dalam memastikan pelaksanaan serta penyelesaian mampan dan lestari sepanjang kitaran hayat penggunaan bahan itu.

Katanya, sepanjang tahun lalu MESTECC membangunkan rangka kerja CER sebelum pelan komprehensif itu dapat diperkenalkan pada tahun ini dan dilaksanakan semasa fasa dua pelan hala tuju sifar penggunaan plastik pakai buang 2018-2030.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terhadap cadangan mewujudkan zon penampan di Pasir Gudang, beliau berkata pihak kementerian sudah membentangkan hasil kajian kepada pihak berkepentingan termasuk pemimpin dan kerajaan negeri Johor.

Bagaimanapun katanya, pembinaan zon penampan di Pasir Gudang bagi menjarakkan penempatan penduduk dengan industri, terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Mac tahun lalu, pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah diarah tutup sementara.

Berita Harian X