X
Jumaat, 7 Februari 2020 | 2:12pm
 Tan Sr Dr Rais Yatim. Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Tan Sr Dr Rais Yatim. Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

PPSMI perlukan penelitian lebih mendalam

KOTA BHARU: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah, memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata penelitian perlu dilakukan dengan mengambil kira latar belakang pendidikan negara dan Perlembagaan Persekutuan, selain peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Katanya, Akta Pendidikan khasnya mewajibkan pengajaran semua subjek dalam bahasa kebangsaan.

“Jadi, sekiranya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, ia perlu disegmenkan iaitu diajar dalam peringkat tertentu dalam bahasa Inggeris, tidak boleh semuanya sekali gus.

“Kemahiran bahasa Inggeris tidak boleh dicapai dengan pengajaran Matematik dan Sains. Murid Melayu perlulah belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukannya menerusi Matematik dan Sains begitu sahaja.

“Ketika isu ini bangkit pada 2003, kita berpendapat Kementerian Pendidikan perlu menjurus kepada bina dan keutuhan bangsa dengan bahasa Melayu. Sekiranya bahasa Inggeris diberi tahap tinggi, bahasa Melayu akan berada di paras bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sepakat Anak Seni di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kerajaan perlu terus berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Katanya, dalam konteks itu, perancangan komprehensif harus dibuat dan beliau memohon supaya PPSMI tidak dilihat dari sudut politik.

“Saya menyarankan kedudukan bahasa Melayu sebagai tiang seri tamadun kita didukung. Tidak pula saya kata Matematik dan Sains tidak boleh diajar dalam bahasa Inggeris.

“Boleh diajar tetapi menerusi segmen dan pilihan. Terserah kepada Kementerian Pendidikan untuk beri perhatian secara profesional dan tidak boleh membuat pengumuman begitu sahaja mengikut selera politik,” katanya.

Berita Harian X