Jumaat, 7 Februari 2020 | 5:27pm
PROF Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto Shiraz Ali
PROF Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto Shiraz Ali

'Memang tak wajar kembalikan semula PPSMI'

KUALA LUMPUR: Kalangan ahli akademik, pejuang bahasa dan aktivis masyarakat sepakat bahawa Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak perlu diteruskan kerana ia terbukti tidak dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Sebaliknya, mereka berkata dasar itu yang pernah dilaksanakan sebelum ini pada 2003 hingga 2012 terbukti gagal sehingga menyebabkan mutu pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris, matematik dan sains merosot.

Walaupun ada yang bersetuju pengenalan semula PPSMI akan membantu memudahkan pelajar menguasai ilmu dan pada masa sama menguasai bahasa Inggeris, kalangan yang membantah dasar itu menjelaskan bahawa penguasaan ilmu tetap boleh diraih dalam bahasa ibunda.

Bagi pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, penguasaan bahasa Inggeris hendaklah dipertingkatkan menerusi subjek bahasa Inggeris, seperti dengan menambah waktu pelajaran, meningkatkan latihan kepada guru dan menambah baik modul pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

Sehubungan itu, katanya, rancangan untuk mengembalikan PPSMI tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa apatah lagi ramai pakar daripada pelbagai bidang sudah membantah pelaksanaannya.

“Kerajaan tidak seharusnya mengulangi dasar itu yang sudah terbukti gagal. Pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda bagi subjek berkenaan adalah lebih baik,” katanya kepada BH.

Semalam Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pelaksanaan semula PPSMI.

Beliau hanya memberi penerangan mengenai perkara itu kepada pegawai kerajaan dan tidak tahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum seolah-olah kerajaan sudah membuat keputusan.

Perdana Menteri berkata walaupun Sains boleh dipelajari dalam bahasa ibunda, ia bukanlah ilmu yang statik seperti seperti Sejarah dan Geografi, justeru pelajar akan lebih menguasai ilmu itu jika dipelajari dalam bahasa Inggeris.

Dr Mahathir berkata, Inggeris adalah bahasa yang kerap digunakan dalam industri dan persidangan sains sekali gus menyebabkan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris sukar memahami arahan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata banyak kajian dilakukan universiti dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan pelaksanaan PPSMI sebelum ini gagal.

“Kerajaan berbelanja kira-kira RM10 bilion bagi lapan tahun itu namun hasilnya penguasaan bahasa Inggeris tetap lemah. Jika dilaksanakan sekali lagi, ia kerja sia-sia.

“Ketika PPSMI dilaksanakan, kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris menyebabkan gred mata pelajaran (Sains dan Matematik) terpaksa diturunkan berikutan jumlah pelajar yang mencapai kelulusan minimum turun mendadak.

“Lihat negara maju seperti Jepun, Finland, Korea Selatan, Jepun, Russia dan Sepanyol tetap berjaya walaupun sistem pendidikan menggunakan bahasa ibunda bukan bahasa Inggeris,” katanya.

Kamal Shukri berkata, penguasaan bahasa Inggeris tidak seharusnya dijadikan ukuran seseorang itu adalah bijak. Malah, ketika bahasa pengantar beralih kepada bahasa Melayu sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, Malaysia tetap melahirkan ribuan pakar sains.

Penasihat Bahasa, Majlis Perundingan Melayu, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, pula berkata kerajaan seharusnya faham bahawa bahasa pengantar Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah bahasa Melayu.

“Kerajaan bertanggungjawab memperkasa bahasa pengantar sedia ada sebagai bahasa ilmu dan tidak seharusnya berdalih mengatakannya sebagai gagal semata-mata mahu mengembalikan PPSMI.

“Sistem Pendidikan Kebangsaan sudah berjaya melahirkan ramai profesor dan profesional dalam bidang sains membuktikan bahasa Melayu tiada kelemahannya. Malah tiada masalah dalam persidangan antarabangsa yang perantaraan bahasa asing, terjemahan dilakukan serentak,” katanya.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaysia, Chin Jia Xing, mempunyai pandangan berbeza terhadap PPSMI yang beliau rasa wajar diteruskan.

Bagi Jia Xing, penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan pelajar mendapatkan rujukan ilmu yang tersedia secara meluas termasuk secara dalam talian, berbanding rujukan dalam bahasa Melau dan Mandarin.

“Saya sendiri ketika belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan kebangsaan menghadapi kesukaran kerana banyak istilah bila terjemahan tidak membawa maksud tepat.

“Namun apabila mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, keadaan menjadi mudah kerana saya ada banyak sumber rujukan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X