Jumaat, 7 Februari 2020 | 9:09pm
WAKIL Liga Rakyat Demokratik, Adam Adli dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor.
WAKIL Liga Rakyat Demokratik, Adam Adli dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor.

AUKU: Akta baharu seharusnya bukan bersifat menghukum

Kuala Lumpur: Undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 haruslah bukan lagi bersifat menghukum sebaliknya memberi lebih banyak ruang kepada universiti khususnya dalam melindungi hak pelajar.

Wakil Liga Rakyat Demokratik, Adam Adli, berkata akta baharu itu harus menjadi lambang pembaharuan yang tidak dibayangi sama sekali dengan AUKU yang dilihat sebelum ini lebih bersifat ‘terhad’ atau menjadi penghalang kepada pelajar.

“Pemansuhan itu sebagai tanda komitmen kepada perubahan dan ia menjadi isyarat kepada orang awam supaya akta baharu itu tidak terikat dengan AUKU, (justeru) maksudnya ia memerlukan permulaan, asas dan peruntukan baharu.

“Melalui akta baharu itu, ia perlu ada satu peruntukan yang bersifat progresif contohnya yang menyatakan bahawa sesebuah universiti mempunyai kewajipan memberikan kebebasan bersuara buat penuntut,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Kementerian Pendidikan giat melaksanakan usaha pemansuhan AUKU dan menggantikannya dengan undang-undang lebih baik dan komprehensif.

Adam yang juga bekas aktivis pelajar berkata, pemansuhan AUKU harus dilaksanakan segera berikutan penggubalan undang-undang baharu memakan masa termasuk proses ke Parlimen.

Paling penting katanya, sepanjang proses penggubalan akta baharu itu, perlu ada pembabitan daripada pihak berkepentingan khususnya penuntut universiti bagi memastikan ia memenuhi keperluan golongan sasar.

Sebelum ini wujud beberapa siri pembabitan awam antara kementerian dan pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk penubuhan Kesatuan Pelajar yang mana ia adalah langkah yang baik dalam usaha pemansuhan AUKU.

“Ini kerana apabila AUKU dimansuhkan penuntut diberi fungsi dan peranan dengan jelas melalui kesatuan dan bukannya tanpa arah, ...penuntut boleh menggunakan platform untuk bersuara dan tidak perlu lagi bergerak secara ‘haram’ seperti sebelum ini, ” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor, berkata akta baharu menggantikan AUKU itu kelak diharap mampu memberi kuasa autonomi kepada universiti termasuk mengadakan struktur tadbir urus baharu dan pembiayaan yang mapan.

Kerajaan mesti mengubah fungsi daripada kawalan ketat ke atas universiti kepada kawal selia yang lebih kompeten supaya institusi itu dapat mengorak langkah lebih baik dalam dunia akademik.

“Kita menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan akademik dan kuasa autonomi kepada universiti dan penuntut selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kewibawaan universiti.

“Kita mahu autonomi yang diberikan kepada universiti itu sehinggalah ke peringkat pemilihan Naib Canselor yang ditentukan sendiri oleh pihak institusi berkenaan tanpa campur tangan daripada pihak kementerian, ” katanya.

Berita Harian X