Sabtu, 8 Februari 2020 | 3:59pm

BSN tawar penangguhan sementara bayaran pinjaman

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pelanggannya boleh memohon untuk penangguhan sementara pembayaran pinjaman yang mungkin terjejas akibat penularan coronavirus 2019 (2019-nCoV).

“Kami memahami keadaan pelanggan yang terdiri daripada pengusaha perniagaan yang mungkin terjejas kerana tidak dapat berurusan dengan pembekal tertentu akibat penularan penyakit ini, terutama di negara berisiko,” kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani, dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami meminta mereka yang terbabit untuk hadir dan berbincang dengan BSN bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, di samping memastikan kemudahan dinikmati dengan sebaik mungkin.

“Sebagai bank yang prihatin, BSN sentiasa memastikan keperluan pelanggannya diutamakan,” katanya.

Pelanggan boleh hadir di mana-mana Cawangan BSN berhampiran untuk perbincangan atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 bagi keterangan lanjut. – BERNAMA

Berita Harian X