Ahad, 9 Februari 2020 | 5:03pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Program Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran JAKIM dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Aizuddin Saad
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Program Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran JAKIM dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto Aizuddin Saad

'Sajat perlu benar-benar insaf, bukan sekadar lepaskan diri'

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang membuat penilaian berhubung isu membabitkan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Sajat sebelum menentukan tindakan undang-undang atau pendekatan seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pihaknya akan mencari kaedah terbaik yang mencapai matlamat menyedarkan Sajat selain mengurangkan kebimbangan umat Islam di negara ini.

“Dia baru balik, jadi biarkan dulu. Saya masih melihat maklumat yang kita dapat dan tidak mahu perkara ini nampak macam terlalu besar.

“Ia hanya satu perbuatan yang kalau ada undang-undang, ia akan diambil (dilaksanakan) namun kalau ada nasihat, kita akan cari kaedah terbaik.

“Semua pilihan itu terdedah untuk kita ambil dan akan datang seiring. Ia bukan bermakna kalau ada undang-undang, tiada (pendekatan) nasihat. Semua ini akan dilihat sebagai pakej untuk menegur. Ada sesetengah orang kita tegur, dia buat kasihan tetapi lepas itu ulang balik.

“Penilaian itu asasnya berlandaskan kepada tujuan untuk mengurangkan kerisauan ramai. Keduanya, apa yang dimuat naik (di laman sosial) dan ketika menghormati budaya syariat kita, sama ada makan saman (menerima teguran) atau tidak, kita nilai dulu baru akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran JAKIM dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, tindakan Sajat memakai telekung ketika mengerjakan ibadat umrah dan berkongsi paparan menerusi media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Usahawan yang sudah pulang ke tanah air itu bagaimanapun membuat permohonan maaf di laman sosial berhubung tindakan terbabit.

Pada masa sama, Mujahid menganggap tindakan meminta maaf dibuat dalam cara itu seolah-olah tidak kena kerana bukan semua perkara harus dilaksanakan sedemikian.

Katanya, adalah penting bagi Sajat betul-betul insaf, sekali gus tidak mengulangi perbuatan itu dan bukan sekadar mahu melepaskan diri.

“Jangan sebab nak selamatkan diri, sebaliknya perlu dilakukan dengan keinsafan. Ada orang minta maaf tetapi tidak insaf, kalau dia minta maaf dengan keinsafan mesti tak akan diulangi kesilapan itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan dan penyelesaian yang akan diambil adalah berlandaskan Sajat sebagai individu dan tidak menyebabkan golongan sama seperti usahawan itu terjejas atau berasa terancam.

Berita Harian X