Isnin, 10 Februari 2020 | 10:39am
Gambar hiasan - Pelanggan memakai topeng muka ketika membuat pembayaran di kaunter pada majlis MR.D.I.Y Bantu Para Pelanggannya dengan memberikan 3.5 juta Topeng Muka percuma di MR.D.I.Y Mid Valley. - Foto Saifullizan Tamadi
Gambar hiasan - Pelanggan memakai topeng muka ketika membuat pembayaran di kaunter pada majlis MR.D.I.Y Bantu Para Pelanggannya dengan memberikan 3.5 juta Topeng Muka percuma di MR.D.I.Y Mid Valley. - Foto Saifullizan Tamadi

KPDNHEP kesan 17 kesalahan penjualan topeng muka

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kesalahan membabitkan rampasan bernilai RM4,225.50 dan kompaun berjumlah RM54,700 dikeluarkan susulan pemeriksaan ke atas 2,103 premis perniagaan borong dan runcit yang menjual topeng muka di seluruh negara.

Semua kompaun itu dikeluarkan pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melindungi pengguna daripada pencatutan berikutan peningkatan permintaan topeng muka, sejak 25 Januari lalu hingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam kenyataannya hari ini, berkata semua kesalahan itu masing-masing membabitkan 14 kes jualan melebihi harga maksimum, manakala bakinya tidak mempamerkan tanda harga.

Katanya, topeng muka adalah barangan terkawal yang disenaraikan di bawah Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No 2) 2009.

“Justeru, penjualan topeng muka melebihi harga diwartakan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Penguat kuasa KPDNHEP akan mempertingkatkan pemantauan di premis yang menjual topeng muka hingga isu novel coronavirus dapat dibendung bagi menangani sebarang jualan melebihi harga kawalan atau kenaikan harga tidak munasabah,” katanya.

Setakat pagi ini, sebanyak 29,361 kes jangkitan coronavirus direkodkan di seluruh dunia membabitkan 871 kematian, melepasi jumlah korban SARS, manakala Malaysia mencatatkan 18 kes positif.

Saifuddin Nasution berkata, orang ramai dinasihati peka dan mengemukakan aduan secara terus kepada sembilan saluran disediakan KPDNHEP, termasuk WhatsApp di talian 019-2794317 jika terjumpa insiden penjualan topeng muka melebihi harga kawalan.

Katanya, mesyuarat dan sesi libat urus bersama pengeluar, pengimport, pemborong dan peruncit topeng muka sudah diadakan bagi menangani isu kekurangan barangan itu, selain membincangkan situasi sebenar bekalannya.

“Pemeriksaan dan lawatan ke kilang pengeluar topeng muka juga sudah dilakukan bagi melihat proses pengeluaran, seterusnya berbincang dengan pengusaha kilang untuk meningkatkan pengeluaran lebih daripada biasa.

“Susulan sesi libat urus bersama pihak industri, beberapa pengilang topeng muka sudah bersetuju meningkatkan pengeluaran topeng muka mereka dalam masa terdekat.

“Kementerian akan terus berkerjasama dengan pihak industri bagi menyelesaikan sebarang cabaran dan kekangan dihadapi supaya bekalan topeng muka di pasaran dapat dipertingkatkan untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Info harga maksimum topeng muka
i) topeng muka 1 ply (ear loop) 100 kpg x 1 kotak = RM7 sekotak
ii) topeng muka 2 ply (ear loop) 100 kpg x 1 kotak = RM10 sekotak / 20 sen seunit
iii) topeng muka 3 ply (ear & head loop) 50 kpg x 1 kotak = 80 sen seunit
iv) topeng muka 3 ply (tie-on) 50 kpg x 1 kotak = 80 sen seunit
v) N95 20 kpg x 1 kotak = RM6 seunit

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X