Isnin, 10 Februari 2020 | 11:33am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sesi Dialog bersama Syarikat-syarikat Perancis yang dianjurkan oleh CCI France Malaysia di Cyberjaya hari ini. Turut hadir, Pengerusi CCI France Malaysia Datuk Zainal Amanshah (kiri) serta Presiden CCI France Malaysia Gilles Waeldin (kanan). - Foto BERNAMA

Ekonomi diunjur berkembang 4.8 peratus tahun ini

CYBERJAYA: Malaysia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini, pagi ini, Dr Mahathir berkata, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 10 Mei 2018, kerajaan memberi tumpuan untuk mewujudkan ekonomi yang stabil, disiplin fiskal yang baik, ketelusan dalam perniagaan, menyingkirkan rasuah dan melaksanakan pembaharuan institusi.

KDNK negara diunjurkan berkembang pada paras 4.8 peratus tahun ini, walaupun berdepan masa yang mencabar. Dengan disiplin fiskal yang bagus, defisit belanjawan negara akan dikecilkan kepada 3.2 peratus tahun ini, kata Dr Mahathir.

"Kami komited untuk menyediakan suasana perniagaan yang stabil untuk pelabur. Kami akan menjadi mesra perniagaan.

“Malah, kami akan memulakan semula dasar Persyarikatan Malaysia (Malaysia Incorporated), iaitu hubungan baik antara kerajaan dan sektor swasta," katanya.

Berita Harian X