Isnin, 10 Februari 2020 | 1:55pm
Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (tengah) dan Mohd Azraai (kanan) pada Pelancaran Pelan Strategik UiTM 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Khamis lalu. - Foto Faiz Anuar

Pelan strategik UiTM2025 pacu universiti taraf global

Kuala Lumpur: Agenda transformasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka melonjak institusi itu menjadi universiti bertaraf global dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia bakal direalisasikan menerusi rangka kerja lima tahun antara 2020 hingga 2025 dikenali sebagai Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) yang menjadi kesinambungan pelan strategik terdahulu, dengan memberi penekanan lebih agresif untuk memperluas jaringan kerjasama di peringkat global.

Menerusi UiTM2025, universiti itu memberi fokus pada perubahan, perkembangan dan keperluan membabitkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Ia juga selaras agenda nasional membabitkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), sekali gus memastikan UiTM kekal relevan di peringkat nasional dan global.

Dengan matlamat jangka panjang menjadikan UiTM universiti terkemuka dunia, UiTM2025 memberi tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu pendidikan berkualiti, kecemerlangan global dan prestasi berpandukan nilai.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, menjelaskan setiap teras itu dipetakan mengikut tema, inisiatif dan prestasi utama yang bersandarkan kecemerlangan, sinergi dan integriti untuk memastikan hasilan UiTM berkualiti tinggi.

“Untuk menjadi universiti berprestasi tinggi, UiTM akan menyedia dan melengkapkan ekosistem yang konstruktif kepada pelajar dan pensyarah supaya mereka mempunyai minda global dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

“Dalam kata lain, UiTM adalah pemain global ke arah menjadi universiti terkemuka dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai yakin pengantarabangsaan UiTM boleh direalisasikan walaupun universiti ini khusus untuk golongan Bumiputera, antaranya menerusi 377 memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian yang ditandatangani bersama pelbagai universiti antarabangsa.

Strategi lain termasuk mobiliti staf dan pelajar menerusi program sangkutan dan program musim panas, memperluas jaringan kerjasama membabitkan program akademik, aktiviti penyelidikan dan perundingan, komuniti dan kesukarelawanan serta meningkatkan jumlah staf akademik antarabangsa.

Pada masa sama Mohd Azraai menegaskan sungguhpun pelan strategik ini bermatlamat menjadikan UiTM universiti terkemuka dunia, ia sama sekali tidak akan menggugat untuk UiTM kekal dengan statusnya yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan khusus untuk Bumiputera

“Pelan ini adalah penambahbaikan dan nilai tambah kepada perkembangan dan keperluan pendidikan tinggi semasa, selain sebagai interpretasi UiTM menyahut aspirasi WKB 2030,” jelasnya.

Selain itu, katanya, keterbukaan UiTM kepada pengantarabangsaan juga tidak akan mempengaruhi pengambilan pelajar Bumiputera, sebaliknya dasar itu bersifat nilai tambah kepada UiTM bagi mencapai hala tuju UiTM2025.

Berhubung kebolehpasaran graduan UiTM yang mencecah kira-kira 45,000 orang setiap tahun, Mohd Azraai memaklumkan sebanyak 83 peratus daripada mereka kini berkhidmat dalam sektor swasta, manakala 13 peratus bekerja dengan kerajaan serta empat peratus sebagai usahawan.

“Data pada 2019 berterusan menunjukkan bahawa kebolehpasaran graduan UiTM pada tahap 83.8 peratus atau 37,523 daripada 44,788 graduan, menandakan kadar yang memberangsangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM itu meletakkan kepelbagaian program akademik di universiti awam itu yang mencakupi hampir semua bidang, sebagai antara kelebihan dan kekuatan utama UiTM berbanding institusi pengajian tinggi lain.

“UiTM juga adalah universiti terbesar di Malaysia dan memiliki pelajar, tenaga akademik dan alumni paling ramai serta memiliki infrastruktur tersendiri untuk menjana pendapatan,” katanya.

Ciri-Ciri Penting Pelan Strategik UiTM2025
i.Pendidikan [email protected] (Education [email protected])
ii.Graduan Holistik bercirikan Keusahawanan (Entrepreneurial and Well-Balanced Graduates)
iii.Peluasan Akses (Widened Access)
iv.Pembangunan Penyelidikan Translasional, Inovasi dan Pengkomersialan (Translational Research Development, Innovation and Commercialisation)
v.Kerjasama Pintar bersama Industri, Komuniti dan Alumni (Industry, Community, Alumni and Smart Partnership)
vi.Kecemerlangan Bakat (Talent Excellence)
vii.Tadbir Urus Tangkas (Agile Governance)
viii.Kampus Pintar (Smart Campus)
ix.Kemampanan Kewangan (Sustainable Funding)

Di samping tiga (3) teras strategik dan 9 tema strategik yang tercatat di atas, ia turut dimantapkan lagi dengan tiga (3) nilai bersama (shared values) iaitu:
•Kecemerlangan (Excellence)
•Sinergi (Synergy)
•Integriti (Integrity)

Berita Harian X