Isnin, 10 Februari 2020 | 2:18pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pelbagai persoalan pada Sesi Dialog bersama Syarikat-syarikat Perancis yang dianjurkan oleh CCI France Malaysia di Cyberjaya hari ini. Turut hadir, Pengerusi CCI France Malaysia Datuk Zainal Amanshah (kiri) dan Presiden CCI France Malaysia Gilles Waeldin (kanan). - Foto BERNAMA

Malaysia tidak akan guna nuklear sebagai sumber tenaga diperbaharui - Tun M

CYBERJAYA: Malaysia tidak akan mengguna bahan nuklear sebagai sumber tenaga diperbaharui, kerana negara tidak mempunyai kepakaran menanganinya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ketika ini, dunia masih belum mengetahui bagaimana untuk melupuskan sisa bahan nuklear.

Beliau berkata, jika negara mempunyai loji tenaga nuklear, ia akan mengumpul sisa nuklear yang juga bersifat radioaktif.

“Pengetahuan kita dalam sains itu tidak mencukupi. Kita tidak tahu bagaimana untuk melupuskannya.

“Itu sebabnya kita tidak boleh menggunakan bahan nuklear, kerana ia tidak terurai selama berjuta tahun.

”Kita tidak mahu negara ini dipenuhi dengan sisa yang dibuang di semua tempat dan memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru, Dr Mahathir berkata, sehingga cara untuk membalikkan proses dalam penggunaan tenaga diperbaharui itu ditemui, Malaysia tidak akan menggunakan bahan nuklear.

Terdahulu ketika berucap pada program dialog kepada ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini, pagi ini, Dr Mahathir ditanya mengenai visi Malaysia membabitkan sumber tenaga diperbaharui.

Pada September lalu, Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berikar supaya Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharuinya kepada 20 peratus menjelang 2025.

Beliau dilaporkan berkata, ia akan dicapai melalui Rancangan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025).

Berita Harian X