Isnin, 10 Februari 2020 | 2:54pm
Baru (dua kanan) dan Ahmad Asri Abdul Hamid (tiga kanan) mendengar penerangan disampaikan oleh Pengarah Infrastruktur MRCB George Kent Sdn Bhd, Mohammad Amjad Faruk (kiri) sempena Lawatan Kerjanya ke Projek Depoh LRT3 Johan Setia, hari ini. - Foto BERNAMA
Baru (dua kanan) dan Ahmad Asri Abdul Hamid (tiga kanan) mendengar penerangan disampaikan oleh Pengarah Infrastruktur MRCB George Kent Sdn Bhd, Mohammad Amjad Faruk (kiri) sempena Lawatan Kerjanya ke Projek Depoh LRT3 Johan Setia, hari ini. - Foto BERNAMA

Projek LRT3 terima lima bintang menerusi penarafan INFRASTAR CIDB

KLANG: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menjadi projek prasarana pertama mendapat lima bintang penarafan infrastruktur mampan (INFRASTAR) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

INFRASTAR adalah sistem yang melaksanakan penarafan bagi mengukur tahap kemapanan setiap projek infrastruktur di Malaysia dan sejak

dilancarkan Mei tahun lalu, sebanyak lima projek sudah melakukan penarafan berkenaan.

Menteri Kerjaya Raya, Baru Bian berkata, selepas lima projek berkenaan, terdapat 18 lagi yang masih menunggu untuk menjalani penarafan INFRASTAR.

“Kita gembira melihat pemain industri pembinaan mengambil serius dalam projek mereka seperti yang dilakukan oleh MRCB George Kent menerusi projek LRT3.

“Saya berharap lebih banyak pemain industri pembinaan di negara ini mematuhi dan melakukan penarafan untuk kelestarian alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas melawat kerja ke depoh projek LRT3 di Johan Setia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dan Pengurus Projek LRT3, Patrick Hwang Chee Leong.

Baru berkata, pada tahun ini pihaknya mensasarkan sebanyak 50 peratus syarikat atau pemain industri pembinaan yang memiliki projek bernilai lebih RM100 juta akan melakukan penarafan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad ‘Asri berkata, CIDB mengambil inisiatif membangunkan sistem INFRASTAR adalah sebahagian daripada usaha memastikan sektor pembinaan negara tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Sistem berkenaan akan menilai kemapanan projek infrastruktur, termasuk reka bentuk, pembangunan dan pembinaan projek.

“Dengan mengambil bahagian dalam penilaian INFRASTAR, pemain industri boleh meraih banyak faedah, termasuk mengurangkan kos pembinaan dan operasi, jika mereka menggabungkan unsur kelestarian semasa di peringkat reka bentuk,” katanya.

Sistem penarafan merangkumi enam teras terdiri daripada pra reka bentuk dan pra pembinaan; kegunaan tanah; ekologi, alam sekitar dan bahan, sumber serta sisa.

Berita Harian X