Selasa, 11 Februari 2020 | 2:16pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hadir pada Majlis Simposium Gender Mainstreaming And Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM) di Hotel Marriott Putrajaya. - Fpto Ahmad Irham Mohd Noor
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hadir pada Majlis Simposium Gender Mainstreaming And Women Empowerment to Fight Corruption (SPRM) di Hotel Marriott Putrajaya. - Fpto Ahmad Irham Mohd Noor

SPRM masih tunggu dokumen SFO berkaitan kes AirAsia

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu maklumat lanjut berkaitan dakwaan rasuah oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK), membabitkan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dengan pembekalnya, Airbus SE.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata ia berikutan dokumen dimuat naik dan diterbitkan dalam laman sesawang SFO itu, sebelum ini lebih menyentuh mengenai Airbus SE.

Katanya, maklumat berkenaan datangnya dari UK kerana ia berdasarkan siasatan dijalankan oleh SFO dan pihaknya tidak boleh membuat kenyataan sehingga memperoleh dokumen berkaitan.

“Kami tidak tahu sama ada perlu menghubungi Tony (Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes) dan Kamaruddin (Pengerusi AirAsia Group Bhd, Datuk Kamaruddin Meranun) sehingga memperoleh dokumen terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Simposium Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 mengenai Pengaliran Utama Gender dan Permerkasaan Wanita untuk Melawan Rasuah, di sini, hari ini.

Latheefa berkata, apabila membabitkan permohonan bersifat antarabangsa atau Bantuan Perundangan Bersama (MLA), ia mengambil masa kerana pihak terbabit bukan hanya menerima satu sahaja permohonan sebaliknya ramai lagi berbuat demikian.

Katanya, pihak terbabit mungkin mempunyai keutamaan sendiri dan SPRM hanya akan memutuskan keperluan untuk memanggil Fernandes atau Kamaruddin selepas melihat dokumen terbabit.

AirAsia pada 1 Februari lalu, menjelaskan tidak terbabit dengan sebarang siasatan mengenai Airbus yang dikendalikan SFO.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan, turut menolak dan menafikan semua dakwaan salah laku dalam artikel yang mengaitkan perjanjian dilakukannya mengenai penajaan sebuah pasukan sukan dimiliki eksekutifnya.

Susulan dakwaan itu, Fernandes dan Kamaruddin melepaskan jawatan eksekutif masing-masing berkuat kuasa serta merta untuk tempoh awal selama dua bulan, bertujuan memberi peluang kepada siasatan penuh dan bebas dilakukan AirAsia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X