Rabu, 12 Februari 2020 | 5:54pm
KETUA Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Tumpu pelancongan domestik rancakkan TMM2020

PUTRAJAYA: Tourism Malaysia memberi tumpuan kepada pelancongan domestik bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang ketika ini dilihat terganggu oleh isu kesihatan global susulan penularan Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Musa Yusof, berkata langkah itu mampu meningkatkan pendapatan negara, memandangkan statistik prestasi pelancongan mendapati 86 peratus daripada mereka yang menginap di hotel seluruh negara adalah rakyat tempatan.

Malah lebih RM70 bilion dibelanjakan pelancong tempatan tahun lalu menerusi aktiviti membeli-belah, hiburan, sukan dan penginapan.

“Justeru, Tourism Malaysia akan memberi fokus kepada dua kategori utama pelancongan domestik, membabitkan percutian keluarga dan syarikat dalam negara yang merancang aktiviti untuk kakitangan mereka.

“Pelancongan domestik ini sangat penting kerana ia diusahakan oleh rakyat Malaysia sendiri, yang mana keluarga besar atau kecil berbelanja dengan melakukan perjalanan dalam negara terutamanya pada musim cuti sekolah, festival dan perayaan.

“Selain itu, kita juga menggalakkan syarikat untuk mengadakan sesi ‘team building’, hari keluarga mahupun kursus atau latihan kepada pekerja mereka di hotel yang menawarkan kemudahan lengkap untuk tujuan itu,” katanya.

Musa berkata, empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang tersenarai sebagai negeri penjana pelancong di mana ramai penduduknya keluar melancong sementara Melaka, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang menerima ramai kemasukan pelancong.

Sehubungan itu beliau meminta pemain industri seluruh negara menawarkan pakej pelancongan yang menarik dan berpatutan bagi menjayakan VM2020 sekali gus meningkatkan industri pelancongan negara.

Katanya, kejayaan kempen VM2020 juga tidak hanya bergantung kepada satu pasaran sahaja, sebaliknya Tourism Malaysia juga mengambil langkah berganding bahu dan bekerjasama untuk menaikkan taraf pelancongan serantau bersama negara Asia Tenggara, memandangkan 69 peratus pelancong asing ke Malaysia adalah dari rantau itu.

“Malaysia dan negara ASEAN yang lain memberikan kerjasama yang erat terutamanya dengan Singapura, Indonesia dan Thailand, menerusi ‘twin destination programmes’, iaitu gabungan destinasi menarik antara dua negara.

“Selain itu, Malaysia juga memberikan komitmen bersama negara ASEAN lain dengan menghasilkan ASEAN Tourism Packages 2019-2020 bagi mempromosikan ASEAN sebagai destinasi tunggal yang menawarkan 69 pakej pelancongan membabitkan lebih daripada satu negara ASEAN dalam setiap pakej,” katanya.

Sebagai ahli Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan yang ditubuhkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Musa berkata Tourism Malaysia turut berperanan memastikan pelancong mempunyai keyakinan berkunjung ke Malaysia berdasarkan langkah kawalan yang dilaksanakan kerajaan dalam membendung jangkitan Covid-19.

Jelasnya keputusan untuk menggantung sementara visa kemasukan pelancong dari empat wilayah di China iaitu Wuhan, Hubei, Zhejiang dan Jiangsu adalah langkah positif dalam memaklumkan kepada pelancong, Malaysia adalah negara selamat untuk dikunjungi selain sudah mengambil tindakan segera untuk menyekat penularan Covid-19.

Peranan yang dimainkan Tourism Malaysia juga dilihat membuahkan hasil, dengan mengambil contoh sambutan Thaipusam pada 8 Februari lalu yang menyaksikan ramai pelancong berkunjung ke kuil seluruh negara bagi melihat acara keagamaan itu kerana tidak bimbang dan merasakan keadaan di Malaysia masih terkawal. – BERNAMA

Berita Harian X