Khamis, 13 Februari 2020 | 9:54am

Susun program pembudayaan amalan membaca secara sistematik

BANGI: Sumber pembacaan dalam arus digital tanpa sekatan menjadi ‘gelanggang’ penyebaran berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, program pembudayaan amalan membaca perlu disusun lebih sistematik supaya masyarakat dapat membezakan kandungan yang benar atau palsu.

“Di sini letaknya cabaran pembacaan hari ini untuk membezakan yang benar dan palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan.

“Usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik dan harus diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku semakin diketepikan.

“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.

“Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan. Hari ini hampir semua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital,” katanya.

Perdana Menteri menyarankan program pembudayaan membaca itu hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan penuh kesungguhan oleh semua pihak terbabit.

“Ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Beliau turut menyarankan bagi mencapai industri buku di negara ini terus berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri (IR 4.0).

“Bagi membudayakan amalan membaca ini, usaha menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Golongan penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut hadir pada majlis itu.

DMK adalah inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat di negara yang antara lain akan memantapkan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif selaras hasrat menjadikan Malaysia negara membaca dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Melalui slogan #MalaysiaMembaca, DMK anjuran Kementerian Pendidikan itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembacaan, jumlah pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh serta melalui penglibatan semua peringkat masyarakat.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X