Khamis, 13 Februari 2020 | 5:51pm
Anthony Loke (tengah) melawat tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Centre, Pulau Indah, hari ini. - Foto BERNAMA

2 saringan sebelum pelancong masuk menerusi pelabuhan

PELABUHAN KLANG: Orang ramai tidak perlu khuatir dengan kemasukan pelancong asing melalui pelabuhan kerana terdapat dua saringan kesihatan yang dilakukan ke atas semua pelancong susulan penularan koronavirus baharu (COVID-19).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, orang ramai diminta tidak panik walaupun kerajaan masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara ini.

“Bagi prosedur kapal, sebelum masuk, senarai lengkap penumpang sudah diberikan kepada pihak berkuasa iaitu operator dan lembaga pelabuhan, jadi kita tahu maklumat setiap kapal.

“Dalam prosedur atau kapal juga, kesihatan mereka sudah pun diperiksa sebelum turun, jika ada simptom sakit atau demam, mereka akan dikuarantin di atas kapal dan tidak akan dibenarkan masuk.

“Kita juga ada pemeriksaan kedua, sebaik mereka masuk kita ada pengimbas suhu, jika suhu badan pelancong itu meningkat mereka tidak boleh masuk kerana hanya mereka yang sihat dan tiada sebarang simptom dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Center di sini, hari ini.

Loke berkata, kerajaan mengambil langkah itu sebagai satu pendekatan seimbang kerana tidak mahu satu keadaan panik dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Dasar kita atau keputusan kita pada ketika ini kita masih membenarkan kapal persiaran berlabuh di negara kita kerana kita mesti memastikan industri pelancongan terus berjalan dan tidak terjejas teruk,” katanya.

“Sebab itu kita tidak ambil langkah larang semua kapal. Kalau kita ambil langkah itu, ia akan memberikan kesan amat buruk kepada ekonomi dan industri pelancongan negara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu dibuat tidak bermakna kerajaan mengambil mudah isu kesihatan dan akan sentiasa memastikan langkah kesihatan diambil.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke terminal itu untuk melihat sendiri prosedur pemeriksaan suhu badan iaitu satu prosedur wajib dikendalikan semua pintu masuk di negara.

Berita Harian X