Khamis, 13 Februari 2020 | 6:22pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini. Foto ihsan Facebook Anwar Ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini. Foto ihsan Facebook Anwar Ibrahim

Isu peralihan kuasa dimuktamad dalam mesyuarat Majlis Presiden PH 21 Februari ini

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya bagi membincangkan isu peralihan kuasa yang menimbulkan banyak spekulasi sejak kebelakangan ini.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata beliau membangkitkan usaha PAS, sekumpulan pemimpin UMNO dan sebilangan kecil pemimpin PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Dr Mahathir menegaskan beliau tidak terbabit dalam usaha itu, malah mengulangi beliau akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan.

“Saya memaklumkan kepada Perdana Menteri memandangkan wujud muslihat licik sedemikian, maka pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Saya cenderung supaya beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (November depan). Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya.

Anwar turut mengingatkan muafakat yang termeterai selama hampir dua tahun usia PH, tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

PAS sebelum ini dilaporkan menyatakan pendirian untuk menyokong kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal menerusi usul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

UMNO pula seperti didedahkan bekas Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Lokman Noor Adam, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang melobi Ahli Parlimennya untuk mendapatkan SD untuk menyokong Dr Mahathir.

Berita Harian X