Khamis, 13 Februari 2020 | 6:56pm
KERAJAAN bersetuju pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat seperti penjara 20 tahun.
KERAJAAN bersetuju pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat seperti penjara 20 tahun.

Cadang penjara 20 tahun kepada pemandu mabuk

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, berkata pindaan undang-undang itu membabitkan denda lebih tinggi, termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu mabuk.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan meneliti pindaan akta berkenaan kerana penguatkuasaan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Secara prinsipnya, kerajaan bersetuju dengan pengubalan akta itu kerana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Pada sidang media 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, cadangan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan dibincangkan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi Jun atau Julai ini.

Vui Keong berkata, pada masa ini pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman di bawah kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Menurut beliau, akta sedia ada tidak mencukupi dan pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan pakar kriminologi agar pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut 304 Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) beliau berkata, kesalahan jalan raya tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Menurut beliau, mahkamah akan memutuskan setiap kesalahan dilakukan pemandu termasuk menetapkan tindakan undang-undang kepada pesalah.

Berita Harian X