Jumaat, 14 Februari 2020 | 9:55am
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin meninjau ladang ternakan lembu pedaging di Felda Wilayah Sahabat. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Program pembangunan peneroka wujudkan komuniti cemerlang

LAHAD DATU: Peneroka Felda, khasnya generasi muda digesa merebut peluang meningkatkan pendapatan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih "Ke Arah Kelestarian Felda".

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata program merangkumi aktiviti perniagaan berasaskan tanaman gantian dan ternakan itu mempunyai potensi sangat besar, selain mampu menjana pendapatan sampingan dalam masa singkat.

"Apa yang hendak kita tekankan adalah untuk melihat hasil daripada usaha yang telah atau sedang dilaksanakan di kawasan Felda untuk memantapkan lagi program PPP ini.

"Felda juga telah mengenal pasti projek-projek tumpun di kawasan tertentu dalam usaha memastikan PPP bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan peneroka tetapi mewujudkan komuniti Felda yang lebih cemerlang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kenduri Sekampung di perkarangan Masjid Jamek Al-Ubudiah, Desa Kencana, sempena lawatan kerjanya di Felda Wilayah Sahabat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar, Pengurus Besar Wilayah Sahabat, Hasrin Ismail dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Sabah, General Linjal.

Beliau yang turun padang meninjau projek penternakan lembu pedaging dan tanaman buah naga (dragon fruit) yang diusahakan oleh dua orang generasi kedua di Felda Wilayah Sahabat, di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kerajaan akan terus mempertingkatkan taraf sosioekonomi peneroka di seluruh negara termasuk 1,647 peneroka di Felda Wilayah Sahabat.

"Kerajaan juga memperuntukkan RM6.23 bilion kepada Felda termasuk RM1 bilion untuk PPP ke arah memacu pembangunan Felda yang lestari,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM5,000,000 untuk menaik taraf kolam takungan loji rawatan air Fajar Harapan serta menaik taraf sistem mekanikal di muka sauk loji rawatan air Cenderawasih Sabah.

Selain itu, peruntukan RM6,237,000 juga untuk menaik taraf janakuasa elektrik di Stesen Janakuasa Sahabat dan RM3,831,700 untuk menaik taraf Stesen Janakuasa Cenderawasih.

Berita Harian X