Jumaat, 14 Februari 2020 | 12:44pm

Tahap kebersihan pasar hanya 40 peratus - Zuraida

PASIR PUTEH: Kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus dan sikap menyumbang keadaan itu perlu diubah dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersih.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pasar adalah lokasi penting yang menunjukkan imej sama ada sesebuah negeri atau negara itu bersih.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada pasar tertentu yang mencapai tahap kebersihan melebihi 40 peratus.

“Sehubungan itu, kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau supaya peniaga mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Siti Sarah, di sini, hari ini.

Pasar Siti Sarah dibina bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 membabitkan kos sebanyak RM4 juta, meliputi satu blok pasar setingkat, surau dan tandas, selain pondok pengawal serta rumah sampah.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Pasar Siti Sarah yang turut dilengkapi kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan bilik menyusu untuk ibu, akan dijadikan perintis dan contoh kepada pasar lain dari segi tahap kebersihan.

“Saya berharap Pasar Siti Sarah bermula dengan bagus dan baik bersama peraturan lebih kemas serta teratur. Saya juga meminta pegawai daerah untuk memberikan taklimat kepada peniaga dan harus ada kontrak selama lima tahun.

“Bagi menyambung kontrak, perlu memastikan peniaga terbabit mengikut peraturan dan jika gagal, tukar kepada peniaga lain,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida berkata, kementerian akan mempertimbangkan pembesaran Pasar Siti Hajar membabitkan kos RM3 juta, selain pembinaan Pasar Binjai bernilai RM5 juta yang sedang dalam proses pelantikan perunding.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin beramah mesra dengan peniaga selepas merasmikan Pasar Siti Sarah di Pasir Puteh, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X