Jumaat, 14 Februari 2020 | 2:38pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

COVID-19: Usaha Malaysia berkesan setakat ini

LANGKAWI: Malaysia dilihat berkesan dalam usaha mengawal penularan COVID-19, setakat ini, malah sudah bersedia dari peringkat awal lagi untuk menangani ancaman virus itu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita berjaga-jaga dari (peringkat) awal. Kita memeriksa mereka yang datang ke Malaysia, terutama dari China, dan kalau kita sangka mereka membawa virus itu, kita kuarantin mereka selama 14 hari.

“Orang kita di Wuhan yang dibawa balik juga dikuarantin 14 hari. Dengan cara ini, kita bernasib baik kerana ada 19 kes saja (COVID-19) dan kebanyakannya warga China.

“Setakat ini (usaha kita) berkesan, saya berharap kerjasama orang ramai dapat membanteras dan melindungi negara daripada penyakit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2 Villa Sirehan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia turut menzahirkan simpati kepada China atas penularan wabak COVID-19 yang sudah mengorbankan lebih 1,000 nyawa rakyat negara itu.

Katanya, beliau menyatakan perkara itu dalam perbualan telefon dengan Presiden China, Xi Jinping, petang semalam.

“Kita menyatakan perasaan simpati kepada Xi Jinping dan berterima kasih kerana Presiden China jelas mengambil berat mengenai perkara ini serta mengambil tindakan luar biasa untuk membanteras penularan penyakit.

“Saya fikir dia (Jinping) membuat apa yang mungkin dilakukan dan kita berterima kasih. Dia juga tolong kita membawa balik rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya

Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin itu mencapai kesefahaman bersama dan berjanji akan bekerjasama mengawal serta mengatasi wabak itu, termasuk meminimumkan impaknya.

Berita Harian X