Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:11pm
KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Terap nilai integriti demi hidup berkat - KSN

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu berpegang teguh kepada nilai integriti bagi mengelak terbabit dengan gejala rasuah dan mendapat keberkatan hidup.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, menegaskan amalan itu perlu dibentuk dari awal dan diterapkan sebagai jati diri.

“Hanya nilai integriti, kejujuran dan amanah yang kukuh dalam diri seseorang dapat menangkis godaan rasuah serta salah guna kuasa.

“Walaupun memiliki wang yang banyak, hujung tahun dapat bonus dan ada lagi ganjaran lain, tetapi hidup tidak seronok kerana apa yang kita miliki itu tidak berkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perkongsian Ilmu di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.

Mohd Zuki turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyebarkan atau berkongsi sesuatu maklumat yang tidak sahih.

“Teknologi yang berkembang pesat amat membantu kita sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas, namun ia juga boleh memberi implikasi buruk kepada kita.

“Jangan sesekali menyebarkan maklumat tidak benar atau berita palsu. Jika kita menerima sesuatu maklumat yang belum pasti kebenarannya, periksalah terlebih dahulu,” katanya.

Sejurus majlis itu, Mohd Zuki menyertai kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Berita Harian X