Jumaat, 14 Februari 2020 | 3:16pm
Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail, (kanan) meninjau pasar mini 99 Speedmart cawangan pertama di Negeri Kedah di yang dibuka secara rasmi hari ini di Kompleks Perniagaan Meluar Jaya, Taman Melur, di sini, hari ini. -Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad

Pengeluaran topeng muka perlu dipertingkat

BANDAR BAHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengeluar topeng muka tempatan meningkatkan pengeluaran topeng muka tiga lapisan bagi memenuhi permintaan tinggi ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasition Ismail, berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kesukaran mendapatkan bekalan topeng muka jenis itu di beberapa negeri.

“Topeng muka di negara kita datang dari dua punca iaitu melalui import seperti dari Eropah, Amerika Syarikat, China, Singapura dan sebagainya serta dari pengeluar dalam negeri.

“Ketika ini, kita sudah berjumpa dengan lima pengeluar topeng muka terbesar tempatan dan meminta mereka menambah pengeluaran topeng muka tiga lapisan bagi menangani masalah kekurangan bekalan yang sedang berlaku,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pembukaan 99 Speedmart Cawangan Pertama di Negeri Kedah di Kompleks Perniagaan Meluar Jaya, Taman Melur, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, berdasarkan rundingan yang diadakan, terdapat pengeluar tempatan berupaya mengeluarkan sehingga 100,000 unit topeng muka jenis itu dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata, terdapat juga pengeluar tempatan terbabit yang sudah mempunyai bekalan sedia ada dalam kuantiti sehingga 200,000 unit.

Katanya, pemantauan akan terus dilakukan di setiap pengeluar topeng muka terbabit bagi memastikan bekalan topeng muka jenis tiga lapisan mencukupi mengikut keupayaan masing-masing.

Beliau berkata, KPDNHEP juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk membeli topeng muka berkenaan untuk diagihkan nanti.

“Kita akan putuskan kemudian bagaimana cara pendekatan pengagihan topeng muka ini yang akan dilakukan di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, memahami keperluan setiap pengeluar topeng muka tempatan, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk penambahan syif bekerja bagi membolehkan pengeluar topeng muka dapat beroperasi 24 jam.

“Saya sudah membuat perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia dan mereka bersetuju untuk segera memberi kelulusan tambah syif yang selama ini dua syif kepada tiga syif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga topeng muka sesuka hati berikutan ia adalah barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu bagi topeng muka tiga lapisan berharga RM0.80 bagi satu unit.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan kekurangan stok topeng muka di pasaran.

Berita Harian X