Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:08pm
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya di Istana Kehakiman semalam. - Foto BERNAMA
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya di Istana Kehakiman semalam. - Foto BERNAMA

Anak tak sah taraf boleh di bin, binti dengan 99 nama Allah

JOHOR BAHRU: Anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, boleh di bin atau binti dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata langkah itu bagi mengelak anak tidak sah taraf berasa teraniaya atau menanggung aib pada masa hadapan jika mereka hanya dibenarkan di bin atau binti dengan nama Abdullah sahaja.

Katanya, Johor juga sangat mengalu-alukan langkah Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

“Alhamdulillah, Johor sudah mewartakan fatwa anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh bin atau binti bapa biologinya sejak 21 Mei 2018 lagi.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri juga sudah menitahkan supaya fatwa yang dibuat dahulu tidak sehingga menzalimi anak tidak sah taraf sekali gus mengaibkan mereka pada masa hadapan.

“Di Johor, kita memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, boleh dinamakan (di bin atau binti) dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah, menjadikan 100 nama bin atau binti untuk dipilih,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 dilaporkan memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dilaporkan membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu dilaporkan berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak di bin atau binti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).

Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Berita Harian X