Jumaat, 14 Februari 2020 | 4:53pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PM umum pakej rangsangan ekonomi 27 Februari

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan coronavirus (COVID-19).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pakej rangsangan yang akan diumumkan pada jam 4.30 petang itu bukan belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan disalurkan kepada sektor yang terkesan.

“Walaupun pasaran sedang menghadapi cabaran yang genting, kita tidak harus berputus asa, tetapi sebaliknya bertabah supaya industri kita dapat bertahan dan negara dapat menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi selepas ancaman COVID-19 tamat.

“Perhatian utama diberikan kepada aliran tunai dan syarikat yang terkesan hendaklah memastikan mereka terus kekal beroperasi serta berupaya memanfaatkan lonjakan semula ekonomi pasca COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan akan membantu syarikat yang terkesan tetapi penekanan harus diletakkan terhadap usaha meneroka ruang pendapatan alternatif seperti peralihan kepada penggalakkan pelancongan domestik dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain.

Katanya, Kementerian Kewangan sedang menyediakan program rangsangan dan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya serta pelbagai agensi lain.

“Kerajaan mengadakan sesi rundingan erat dengan beberapa peserta industri utama dalam sektor pelancongan, logistik dan kewangan. Kementerian berkaitan juga sudah mengadakan mesyuarat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Kementerian Kesihatan juga sudah melakukan yang terbaik dalam membendung wabak COVID-19 di Malaysia, tanpa menimbulkan rasa cemas dalam khalayak ramai walaupun sering dilanda berita palsu,” katanya.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya rakyat mengetepikan perbezaan dan bersatu sebagai sebuah negara dan bangsa.

“Walaupun kerajaan akan membantu industri yang terkesan, pemain industri juga perlu memainkan peranan dalam membantu pelanggan dan pembekal mereka supaya semua mampu bertahan menempuhi cabaran ini dan menerima manfaat daripada lonjakan semula pasca COVID-19,” katanya.

Berita Harian X