Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:25pm
Dr Mahathir sekali lagi menegaskan beliau masih berpegang janjinya berundur sebagai Perdana Menteri selepas November ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

'Tak lama lagi 95 tahun..mana boleh tahan' - Tun M

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan beliau masih berpegang janjinya berundur sebagai Perdana Menteri selepas November ini.

Dalam sidang medianya selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2 Villa Sirehan di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau akan meletak jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November ini.

“Saya dengar cerita macam-macam, nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.

"Saya sudah 94 tahun. Tak lama lagi 95....mana boleh tahan. Saya janji akan letak jawatan selepas APEC, itu saya pegang kepada janji saya,” katanya.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau cenderung supaya Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga Sidang Kemuncak APEC dan perkara ini akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), 21 Februari ini.

Pakatan Harapan (PH) bersetuju memilih Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir tetapi tarikh tepatnya tidak ditetapkan.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai dakwaan sebuah portal berbahasa Inggeris yang mendakwa, kini 138 Ahli Parlimen menyokong Dr Mahathir untuk menghabiskan penggal berkhidmat sebagai perdana menteri.

Mengulasnya, Dr Mahathir berkata: "Hari ini, Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti (dalam Parlimen), macam mana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu (bagaimana) mereka boleh buat macam itu.

"Maknanya PH mesti sokong lah (baru boleh) dapat angka macam itu," katanya.

Berita Harian X