Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:41pm
Dr Wan Azizah (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Definisi COVID-19: Malaysia tidak ikut langkah China

PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan mengikut langkah China menukar definisi kes positif jangkitan coronavirus COVID-19, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan sedemikian hanya dilaksanakan di Hubei kerana makmal di wilayah itu tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian, ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Malaysia yang bertanggungjawab melakukan ujian saringan COVID-19 masih berupaya menampung operasi pengesanan, termasuk membabitkan kemasukan warga asing di negara ini.

“Berbanding Hubei, IMR sudah membuat persiapan awal selepas berita mengenai coronavirus ini tercetus, jadi insya-Allah kita dapat tangani.

“Setakat ini, kita belum membuat keputusan untuk mengikut langkah China (menukar definisi kes positif COVID-19),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah turut mengesahkan setakat ini, semua petugas perubatan yang mengendalikan rawatan dan pemantauan kes pesakit COVID-19 di Malaysia, tidak dijangkiti virus terbabit.

Beliau berkata, saringan kesihatan secara berkala terhadap petugas perubatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti COVID-19, akan terus dilaksanakan.

Mengenai penggunaan antiviral dalam rawatan COVID-19 pula, katanya, Malaysia setakat ini masih memberikan Kaletra kepada pesakit yang ditempatkan di hospital berkaitan.

Sebelum ini, bekas ahli virologi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Marie-Paule Kieny, dilaporkan berkata keputusan awal ujian dua ubat antiviral bagi merawat jangkitan COVID-19 yang dikendalikan saintis China, dijangka diperoleh dalam masa beberapa minggu lagi.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Malaysia tidak akan memberi kebenaran berlabuh kepada mana-mana kapal asing yang enggan berkongsi maklumat penting diperlukan pihak berkuasa.

Beliau berkata, ketetapan berkenaan diwajibkan terhadap mana-mana kapal asing selari usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.

“Jabatan Imigresen melaporkan ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh oleh dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam dan Sapphire Princess.

“Westerdam dengan muatan kira-kira 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari lalu, pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia tetapi telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja, semalam, manakala Sapphire Princess selamat berlabuh di Singapura.

“Oleh itu, tiada kapal asing yang dilaporkan mendapat kebenaran berlabuh di Malaysia,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X