Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:48pm
Kerajaan memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing di kilang bagi meningkatkan penghasilan topeng muka dan mulut. - Foto hiasan

COVID-19: Kilang tambah pekerja asing tingkatkan penghasilan topeng

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing di kilang bagi meningkatkan penghasilan topeng muka dan mulut untuk memenuhi permintaan bekalan susulan penularan COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata hasil perbincangan pengilang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini, mendapati penambahan pekerja asing berkenaan secara tidak langsung membolehkan kilang terbabit beroperasi 24 jam.

“Pengambilan lebih ramai warga asing ini adalah untuk menghasilkan lebih banyak topeng muka. Pada masa biasa, topeng muka ini hanya digunakan pihak hospital.

“Orang awam hanya guna (topeng muka) ketika jerebu. Sekarang, apabila kita perlukan (topeng muka) secara mendadak, pengeluarannya juga mesti dinaikkan secara mendadak.

“(Justeru) Mereka akan mendapat pelepasan untuk pengilang beroperasi dalam tiga syif, iaitu 24 jam bagi mengeluarkan lebih banyak topeng muka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ketua Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memantau kemasukan warga asing terbabit.

“Kementerian berkenaan akan mengendalikan kemasukan warga asing ini kerana kita tidak mahu berlaku kebanjiran, dan kawalan akan dilakukan,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X