Jumaat, 14 Februari 2020 | 7:11pm

COVID-19: 4 lagi individu pulih sepenuhnya

PUTRAJAYA: Empat individu yang dijangkiti COVID-19 sebelum ini, dibenarkan pulang selepas ujian pengesanan ulangan terhadap virus berkenaan yang dijalankan sebanyak dua kali menunjukkan keputusan negatif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat individu berkenaan yang dibenarkan pulang, hari ini, ialah kontak rapat kepada kes pertama membabitkan warga China yang dilaporkan di Singapura sebelum ini.

Beliau berkata, ini menjadikan bilangan kes COVID-19 yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang ialah sebanyak tujuh orang.

“Mereka (empat individu terbabit) dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari lalu serta positif COVID-19.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang selepas hasil ujian pengesanan ulangan COVID-19 yang dijalankan dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Kerajaan ingin mengucapkan tahniah kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang berusaha menguruskan semua kes ini sehingga mereka sembuh serta dibenarkan pulang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata setakat ini, tiada pertambahan kes baharu dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 kekal sebanyak 19 kes.

“Sembilan kes adalah pesakit bawah pemantauan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes ialah rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui misi bantuan kemanusiaan.

“Daripada jumlah berkenaan, 13 orang adalah warga China dan enam lagi warga Malaysia,” katanya sambil menjelaskan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes masih diteruskan.

Beliau berkata, sebanyak 239 kontak rapat sudah dikenal pasti dan jumlah itu akan bertambah sehingga pengesanan berkenaan selesai.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 181 kontak rapat berkenaan terdiri daripada warga Malaysia, 46 warga China dan 12 lagi lain-lain warganegara.

“Kesemua kontak rapat yang dikesan ini sudah diambil sampel dan diletakkan bawah perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, semua 105 individu sedang menjalani proses pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini, akan dibenarkan pulang sekiranya bebas jangkitan COVID-19.

Bersandarkan maklumat semasa, beliau menjelaskan, kumpulan yang dibawa pulang dari Wuhan, China, menerusi misi kemanusiaan itu kini berada dalam keadaan sihat dan baik.

Sehubungan itu, katanya, mereka akan diberi kelulusan untuk pulang ke kediaman masing-masing pada 18 Februari ini jika keputusan saringan akhir didapati negatif jangkitan COVID-19.

“Jika keputusan saringan pada hari ke-14, 18 Februari ini, didapati negatif, mereka boleh pulang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah (dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBH), di Putrajaya, hari ini. - FOto BERNAMA
Berita Harian X