Jumaat, 14 Februari 2020 | 9:07pm
Dr Mahathir pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah LTdL 2020 di Langkawi, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Malaysia giat tarik pelancong Eropah, Asia Tengah dan AS

LANGKAWI: Malaysia akan berusaha menarik lebih ramai pelancong dari Eropah, Asia Tengah dan Amerika Syarikat (AS) melawat negara ini, selepas berhadapan masalah akibat penularan coronavirus (COVID-19), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap ramai pelancong berkunjung sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, namun penularan penyakit itu memerlukan langkah baharu diambil.

Katanya, tumpuan juga perlu diberi kepada pelancong domestik supaya terus melancong di dalam negara sepanjang tahun ini.

“Kita akan tumpu untuk tarik pelancong dari Eropah, Asia Tengah dan AS serta menggalakkan pelancong dalam negara yang tidak dapat ke China, Jepun dan Korea Selatan.

“Mereka ini boleh melancong dalam negara sepanjang TMM 2020 dan ia akan membantu memajukan sektor perhotelan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah LTdL 2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, penganjuran LTdL sejak 1996 berjaya menarik ramai pelancong luar ke Malaysia selepas melihat keindahan negara ini melalui siaran langsung televisyen.

“Salah satu sebab kita menganjurkan LTdL adalah kerana ketika perlumbaan, banyak stesen televisyen antarabangsa menyiarkan perlumbaan dan penonton luar negara dapat melihat seluruh negara.

“Pada setiap peringkat ditunjukkan keindahan negara bermula dari Sabah, Sarawak sehingga Semenanjung dapat dilihat dan ini satu bentuk pengiklanan yang dapat tarik pelancong,” katanya.

Berita Harian X