Jumaat, 14 Februari 2020 | 9:30pm
Pegawai penguat kuasa MPSJ dan seorang warga emas yang terbabit dalam pergaduhan yang tular, mengadakan pertemuan di pejabat ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, hari ini. - Foto ihsan Pejabat ADUN Subang Jaya

Penguat kuasa MPSJ, warga emas bergaduh sudah berdamai

KUALA LUMPUR: Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan seorang warga emas yang terbabit dalam pergaduhan di pusat komersial USJ 9, Subang Jaya, bertemu untuk berdamai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, berkata kedua-duanya secara sukarela berdamai sekali gus menyelesaikan salah faham antara mereka.

“Pegawai MPSJ dan individu yang terbabit dengan insiden di USJ 9 yang videonya tersebar semalam telah berjumpa dengan saya hari ini, bersama seorang pengantara bertauliah, Sean Onn.

“Saya amat berbesar hati dan berbangga untuk memaklumkan bahawa, selepas berbincang dengan kedua-dua pihak iaitu pegawai MPSJ dan individu berkenaan, mereka dengan sukarela berdamai dan telah menyelesaikan salah faham.

“MPSJ, pegawai MPSJ dan individu berkenaan juga bersetuju supaya isu antara mereka dikira selesai secara muktamad,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Insiden pergaduhan antara seorang pegawai MPSJ dengan warga emas itu tular sejak semalam dan menerima reaksi pelbagai pihak di media sosial.

Ia dikatakan bermula apabila seorang warga emas tidak berpuas hati kenderaannya ditarik sepasukan penguat kuasa MPSJ dan memukul seorang daripada anggota berkenaan menggunakan payung lalu ia dibalas semula oleh mangsa.

Video itu mendapat reaksi Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan yang mengesahkan kejadian itu dan berkata pemilik kenderaan terbabit tidak berpuas hati dikenakan tindakan penguatkuasaan tunda dan cuba melepaskan kenderaan daripada alat tunda sebelum memarahi dan memukul anggotanya.

Menurut Noraini, kesalahan trafik dan memukul pegawai bertugas adalah jelas.

“Sekiranya orang awam tidak berpuas hati dengan sebarang tindakan penguatkuasaan, mereka boleh mengemukakan aduan rasmi kepada MPSJ.

“Mereka juga boleh ke Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X