Sabtu, 15 Februari 2020 | 2:54pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyampaikan sumbangan kepada wakil organisasi kebajikan dan sekolah di Ipoh Swimming Club, Jalan Raja Dr Nazrin Shah. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyampaikan sumbangan kepada wakil organisasi kebajikan dan sekolah di Ipoh Swimming Club, Jalan Raja Dr Nazrin Shah. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari

Suhu lebih 30 darjah kurangkan penularan virus

IPOH: Suhu yang tinggi melebihi 30 darjah celsius, dipercayai mampu mengurangkan risiko penularan wabak coronavirus (COVID-19).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, fakta itu berdasarkan kajian Ketua Pakar Sains Kesihatan Kementerian Kesihatan Singapura, Profesor Tan Chorh Chuan yang mengatakan, bahawa coronavirus itu tidak bertahan lama sekiranya ia melebihi paras suhu itu.

“Kalau kita melihat di Malaysia, cahaya matahari dan kawasan lapang suhunya memang lebih daripada 30 darjah.

“Jadi, ini peluang untuk kita mengurangkan penularan virus sekiranya wabak itu (COVID-19) berlaku,” katanya selepas menghadiri program Pengagihan sistem pengawasan ke sekolah dan organisasi kebajikan di Ipoh Swimming Club, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Boon Chye berkata, saranan profesor berkenaan bagi mengurangkan penggunaan penghawa dingin dan lebih memakai kipas antara langkah yang boleh di pertimbangan sekiranya terdapat wabak COVID-19 berada di komuniti di negara ini.

“Ini cuma langkah sekiranya ada penularan yang serius dalam kalangan komuniti, tetapi negara kita belum sampai di tahap itu,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun langkah itu juga bersandarkan beberapa faktor termasuk tahap virus itu yang dikatakan boleh di bunuh melalui suhu tnggi.

“Kita juga mengetahui influenza dan coronavirus wabak sebelum ini memang paling teruk semasa musim salji dan apabila cuaca suhu naik penularan itu akan kurang.

“Jadi, ini (tutup penghawa dingin) mungkin satu langkah yang kita boleh pertimbangkan, namun kita memerlukan lagi maklumat daripada kajian sains dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, media dari Singapura melaporkan, selain mencuci tangan dan membersihkan permukaan benda, orang ramai perlu menutup hawa dingin, membuka kipas angin dan mendapatkan udara segar untuk mengurangkan risiko menjangkiti COVID-19.

Memetik laporan itu, sebabnya adalah meskipun banyak perkara masih lagi tidak diketahui mengenai virus ini, namun kajian sebelum ini menunjukkan virus lebih mudah merebak dalam cuaca sejuk dan kering.

“Berita baik” bagi Singapura ini disampaikan ketua pakar sains kesihatan Kementerian Kesihatan Professor Tan Chorh Chuan di satu sidang akhbar pada Isnin lalu.

Berita Harian X