X
Sabtu, 15 Februari 2020 | 2:59pm
Waytha Moorthy (dua dari kiri) sambil disaksikan Dr Balachandran (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta pada majlis ramah mesra bersama pemimpin komuniti dan rakan perpaduan negeri di Kuala Terengganu, hari ini. Foto BAHAROM BAKAR
Waytha Moorthy (dua dari kiri) sambil disaksikan Dr Balachandran (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta pada majlis ramah mesra bersama pemimpin komuniti dan rakan perpaduan negeri di Kuala Terengganu, hari ini. Foto BAHAROM BAKAR

Suruhanjaya bebas tangani isu kaum, agama - Waytha Moorthy

KUALA TERENGGANU: Kerajaan ketika ini dalam usaha menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menangani isu kaum dan agama di negara ini yang boleh diselesaikan melalui rundingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, menjelaskan cadangan penubuhan Suruhajaya Harmoni dan Perdamaian itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

Katanya, suruhanjaya yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu akan berperanan menyelesaikan isu perkauman dan agama melalui meja rundingan.

“Kerajaan kini sedang mengumpul data dan model daripada beberapa negara yang mempunyai akta keharmonian, termasuk Australia. JPNIN akan meneliti model untuk merangka akta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin komuniti dan rakan perpaduan negeri di Dewan Persatuan Buddhist Terengganu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Krishnan.

Waytha Moorthy menjelaskan, berdasarkan model dilaksanakan di beberapa negara, bukan semua isu perkauman dan agama perlu membabitkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ada isu boleh diselesaikan melalui proses perdamaian dan suruhanjaya yang dicadang ditubuhkan itu akan diberi kuasa menyelesaikan isu dengan pihak yang bertelagah melalui meja rundingan,” katanya.

Katanya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat berhubung syor penubuhan suruhanjaya terbabit.

Mengenai keanggotaan suruhanjaya, beliau berkata, pemilihan akan dibuat dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman menangani isu antara kaum.

“JPNIN ketika ini tiada kuasa untuk menangani isu kaum dan agama, sebaliknya hanya berfungsi mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Berita Harian X