Sabtu, 15 Februari 2020 | 4:05pm
BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Maszlee tanding Ketua Bahagian demi kekuatan parti

SIMPANG RENGGAM: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menegaskan yang usahanya bertanding jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Simpang Renggam adalah untuk memastikan kekuatan parti itu di semua peringkat.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, berkata Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, mahu parti itu menjadi kubu kuat orang Melayu, bukan hanya di Parlimen itu, tetapi merangkumi keseluruhan negeri Johor.

Justeru itu, katanya beliau akan tetap taat dan setia bersama BERSATU.

“Saya akan terus berdiri teguh di belakang kepemimpinan BERSATU, di belakang Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Maszlee berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Simpang Renggam ini dan memberikan yang terbaik kepada penduduk.

“Kerja bina semula negara kita adalah fokus utama semua pihak. Saya yakin kerja keras untuk perkara ini sedang dilakukan.

“Orang Melayu hanya akan bergerak ke hadapan jika bersatu hati dan bersama-sama sebagai sebuah kolektif ketika berdepan dengan cabaran globalisasi,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X