Sabtu, 15 Februari 2020 | 9:05pm

Sampah tidak terurus celakan pasar

KUALA LUMPUR Sayur-sayuran bertaburan, lantai basah, kehadiran tikus dan longgokan sampah antara pandangan menjengkelkan pengunjung Pasar Awam Pudu di ibu negara, saban hari terutama pada hujung minggu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang orang ramai terus mengunjungi pasar basah kerana di situ luas, serba lengkap, banyak pilihan dan dibuka hingga jam dua petang.

Keadaan itu sedikit sebanyak mengiyakan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mengatakan, kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus, selain masalah sikap menyumbang permasalahan itu, memerlukan perubahan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersih.

TINJAUAN tahap kebersihan di sekitar pasar basah di Pasar Pudu susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus sahaja. NSTP/Mustaffa Kamal

Bagi Rafeah Mohamad, 41, ibu kepada tiga cahaya mata, berkata keadaan pasar yang kotor mencalarkan imej bandar raya dan ia seakan tidak pernah berubah sejak dulu lagi.

“Memang faktor kebersihan di sini sangat teruk dan peniaga pula tidak menghiraukan persekitaran kawasan niaga mereka yang kotor.

“Kebiasaannya seminggu sekali saya ke pasar ini, dari rumah di Sentul kerana di sini hampir semua keperluan makanan basah dan kering boleh diperolehi, cuma perlu tahan menempuh keadaan gerai tidak teratur, sampah bertaburan dan bau kurang menyenangkan,” katanya yang berkerja sebagai kerani.

Sementara itu, peniaga rempah yang mahu dikenali Ali Majid, 32, berkata keadaan pasar basah seakan tiada perubahan sejak 20 tahun lalu, berikutan sikap tidak bertanggungjawab peniaga yang hanya mahu menyenangkan kerjanya tanpa memikirkan menjaga kebersihan bersama.

“Sebagai peniaga, saya mahu peniaga melakukan gotong-royong seminggu sekali berbanding sebulan sekali kerana sukar untuk mengharapkan hanya Alam Flora mengangkut sampah. Ini berikutan, kebersihan di petak gerai tidak dapat dilalui lori penyangkut sampah.

“Inisiatif gotong-royong dan menjaga kebersihan perlu digerakkan dalam kalangan peniaga kerana di sini adalah punca rezeki,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali, Irma, 50, berkata tahap kebersihan menjadi semakin buruk apabila pasar itu dimonopoli warga asing sehingga menyukarkan peniaga kecil sepertinya untuk bersuara.

“Sampah dibiarkan bertaburan, tidak diikat kemas menyebabkan keadaan pasar tidak terurus. Lebih memburukkan keadaan apabila ramai warga asing dibiarkan berniaga.

“Jika mahu mencantikkan kembali imej pasar ini beri peluang kepada anak tempatan bekerja dan pastikan kurangkan kebergantungan tenaga asing,” katanya.

TINJAUAN tahap kebersihan di sekitar pasar basah di Pasar Pudu susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus sahaja. NSTP/Mustaffa Kamal
TINJAUAN tahap kebersihan di sekitar pasar basah di Pasar Pudu susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus sahaja. NSTP/Mustaffa Kamal

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X