Sabtu, 15 Februari 2020 | 10:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Wanita AS tiba dari Kemboja mangsa kes ke-22

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan malam ini, mengesahkan pertambahan satu lagi kes baharu dilaporkan menjadi tiga kes baharu coronavirus, COVID-19, di Malaysia hari ini, dengan kes ke-22 membabitkan wanita berusia 83 tahun warga Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata wanita itu adalah antara penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada Khamis lalu (13 Februari).

Beliau menjelaskan, semua penumpang dan anak kapal terbabit sudah dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja selepas memaklumkan saringan kesihatan dijalankan ke atas mereka.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran itu mengambil penerbangan ke Malaysia semalam (14 Februari). Daripada jumlah itu, wanita itu dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ujian saringan pengesanan COVID-19 dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan disahkan positif. Wanita itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini, ujian pengesanan COVID-19 terhadap suami wanita warga AS itu yang berusia 85 tahun didapati negatif.

Namun, katanya suami wanita itu masih menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan kementerian itu akan terus memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan maklum balasbagi menghadapi penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Begitu juga, kementerian akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pelbagai pihak yang terbabit.

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Pagi tadi, Kementerian Kesihatan memaklumkan dua lagi baharu COVID-19 membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang wanita berusia 32, masing-masing warga China.

Kedua-duanya kini sudah pun dimasukkan ke hospital untuk pemantauan selanjutnya.

Berita Harian X