Isnin, 17 Februari 2020 | 1:41pm
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Noor Zari Hamat (dua, kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Logo (Livery) Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dan Pakej Pelancongan ’The Best of Langkawi Discovery’ di Sky Park Rac Lounge hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris (tiga, kiri); Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (dua, kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif Firefly, Philip See (kanan). - Foto BERNAMA

Turunkan cukai, insentif latihan antara tuntutan industri pelancongan

SUBANG: Pengurangan kadar cukai pelancongan dan pengenalan insentif latihan, adalah di antara cadangan diharap dapat dilaksanakan dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumum kerajaan 27 Februari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat, berkata cadangan itu banyak dibangkit pemain industri pelancongan tempatan bagi mengimbangi kesan terhadap penularan coronavirus, COVID-19, yang menjejaskan mereka.

Katanya, cadangan sedemikian juga sudah dikemuka kepada Kementerian Kewangan untuk dinilai dan diberi perhatian sewajarnya.

“Sebelum ini, kita jumpa Menteri Kewangan dan bawa hasrat yang disampaikan penggiat industri. Banyak perkara dibangkitkan. Contoh pihak industri cadang supaya cukai pelancongan RM10 ketika ini diturunkan pada kadar munasabah.

“Penggiat juga cadang pengenalan latihan bersesuaian supaya dapat menambah kemahiran dalam situasi sebegini. Selain cadangan kepada HRDF (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) untuk beri latihan kepada pemain industri yang barangkali terkesan dengan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis Pelancaran Livery VM2020 & Pakej Firefly The Best Of Discovery di Skypark RAC Subang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See.

Noor Zari berkata, selain tumpuan kepada pelancongan domestik, pihaknya kini menggiatkan usaha menarik kehadiran pelancong dari beberapa negara Asean.

“Tahun lepas lebih 65 peratus (pelancong) yang masuk adalah dari Asean. Kita akan pergiatkan lagi promosi di negara jiran, pada masa sama mengenal pasti sasaran baru ke Timur Tengah dan India.

“Pada 2018 hingga tahun lalu (trend kehadiran pelancong) India (ke Malaysia) dilihat meningkat 20 peratus,” katanya.

Mengulas majlis itu, Noor Zari berkata, dengan pakej promosi ditawarkan syarikat penerbangan berkenaan, pihaknya menyasar peningkatan 20 peratus penumpang menggunakan perkhidmatan itu menerusi laluan Subang ke Pulau Langkawi.

“Bagi laluan Pulau Pinang-Langkawi, tahun lalu merekodkan seramai 6,700 penumpang. Dengan pakej ditawarkan ini, kita juga harap peningkatan sebanyak 20 peratus penumpang,” katanya.

Berita Harian X