Selasa, 18 Februari 2020 | 10:36am
Dua penumpang Diamond Princess warga Malaysia disahkan positif positif COVID-19. Foto REUTERS
Dua penumpang Diamond Princess warga Malaysia disahkan positif positif COVID-19. Foto REUTERS

COVID-19: 2 rakyat Malaysia positif, sedang dirawat di Jepun

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia di atas kapal Diamond Princess, yang berlabuh dan sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, disahkan positif COVID-19 dan sedang dirawat di negara itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook rasmi miliknya hari ini berkata, selain itu terdapat dua lagi rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan ujian COVID-19.

“Kapal persiaran Diamond Princess yang sedang dikuarantin, mencatatkan kes kluster terbesar di luar China dengan lebih 400 orang yang diuji disahkan positif.

“Terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif COVID-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian COVID-19 di atas kapal tersebut. Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun,” menurut catatan itu.

Semalam, media melaporkan sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif COVID-19 sehingga kini.

Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada awal Februari membawa lebih 3,700 penumpang dan anak kapal dari lebih 50 negara.

Ia dikuarantin selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu didapati positif virus berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X