Selasa, 18 Februari 2020 | 6:36pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PSKL 2040 ambil kira kepadatan penduduk

KUALA LUMPUR: Penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 akan mengambil kira kepadatan penduduk di ibu negara yang dijangka mencecah 2,254,400 orang menjelang tahun itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata perangkaan itu diperoleh berdasarkan kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan peningkatan kadar purata penduduk setiap tahun di ibu negara.

“Bagi menampung pertambahan penduduk baharu sehingga 2040, PSKL dijangka akan tertumpu di kawasan pembaharuan bandar yang sudah dikenal pasti, termasuk kawasan Bandar Malaysia.

“Menerusi pelan itu juga, pengurusan lalu lintas antara aspek penting yang diambil kira. Pelan ini menyasarkan konsep 70:30 iaitu 70 peratus penduduk menggunakan sistem pengangkutan awam menjelang 2040.

“Selain itu, DBKL akan memastikan kemudahan sokongan dipertingkatkan seperti bas pengantara, ‘park and ride’ dan kemudahan laluan pejalan kaki yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian draf PSKL 2040, di Menara 1 DBKL, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan, PSKL 2040 yang dilaksanakan selari dengan prinsip ‘New Urban Agenda’ (NUA) dan Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang akan mengutamakan perancangan menyeluruh tanpa membelakangi mana-mana pihak.

“Kita pastikan ‘no one left behind’ dalam pelan ini. Kita akan membangunkan Kuala Lumpur dengan konsep dinamik, pertumbuhan saksama, sejahtera, mampan dan berdaya tahan.

“PSKL 2040 akan mentransformasikan Kuala Lumpur sebagai bandar untuk semua,” katanya.

Berita Harian X