Khamis, 20 Februari 2020 | 3:13pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Booklet Pakej MYexperience Sempena Visit Malaysia 2020 (MYexperience) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Booklet Pakej MYexperience Sempena Visit Malaysia 2020 (MYexperience) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Pelbagaikan promosi TMM2020 tarik pelancong tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu penggerak industri mempelbagaikan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan bercuti di dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pelancong tempatan berperanan penting bagi menjayakan TMM2020 terutama selepas dunia menyaksikan penularan wabak coronavirus (COVID-19).

“Sejak penularan COVID-19 yang memberi kesan secara global, kita menjangkakan pengurangan pelancong bercuti ke negara ini, maka itu sebabnya penting supaya pelbagai promosi dilakukan bagi menarik pelancong tempatan.

“Malah, penggerak industri juga boleh mengambil kesempatan daripada pembatalan tempahan pelancong luar dengan menawarkan promosi lebih menarik kepada pelancong tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media melepas melancarkan Booklet Pakej MYexperience Sempena Visit Malaysia 2020 (MYexperience) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Mengulas mengenai MYexperience, Mohamaddin berkata, inisiatif itu menawarkan 500 pakej ‘niche’ membabitkan percutian dan aktiviti pada harga berpatutan dengan pembabitan kira-kira 109 pengusaha produk pelancongan di seluruh negara.

“Pelancaran booklet MYexperience ini tepat pada masanya dan sesuai bagi menggalakkan percutian domestik dalam kalangan penduduk Malaysia.

“Pakej yang ditawarkan juga selari dengan inisiatif ‘quick win’ dalam menangani industri pelancongan negara yang terkesan susulan daripada krisis COVID-19 yang ketara di peringkat global,” katanya.

Selain booklet yang boleh didapati secara percuma di mana-mana pejabat pelancongan tempatan, pakej yang ditawarkan juga boleh diperoleh melalui laman sesawang www.malaysia.travel dan vm2020.malaysia.travel.

Pakej yang ditawarkan merangkumi 23 segmen termasuk pelancongan sukan, ekologi, perubatan, pendidikan, gastronomi dan gaya hidup.

Berita Harian X