Jumaat, 21 Februari 2020 | 11:56am

Permohonan kemasukan ke UA dibuka mulai Isnin

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan pelajar ke 20 universiti awam (UA) dan beberapa insitusi pendidikan tinggi awam (IPTA) lain melalui Sistem UPUOnline dibuka mulai tengah malam, Isnin ini.

Ini termasuklah permohonan kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikualsi (KM), Politeknik, Kolej Komuniti dan empat Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Kementerian Pendidikan berkata, Sistem UPUOnline bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibuka hingga jam 11.59 malam, pada 31 Mac depan, manakala lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf (7 April 2020).

“Pemohon wajib membeli Nombor Unik ID melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Isnin ini, sebelum mengemukakan permohonan.

“Penjualan Nombor Unik ID di BSN bagi lepasan SPM akan ditutup pada 30 Mac depan, manakala lepasan STPM atau setaraf (6 April 2020).

“Pemohon bagi lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) boleh membuat pemilihan program pengajian selepas lima hari keputusan SPM atau STPM diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi ditalian 0388708200; e-mel kepada [email protected] atau di laman KEMASUKAN BPKP JPT (Facebook); @TWT_UPU (Twitter) dan @KEMASUKANBPKP (Instagram).

Berita Harian X