Jumaat, 21 Februari 2020 | 2:14pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra, hari ini. - BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU, Bangunan Perdana Putra, hari ini. - BERNAMA

Misi bawa pulang 75 lagi rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seramai 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka di Wuhan, China dijadualkan dibawa pulang pada 25 Februari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama syarikat penerbangan AirAsia sedang menguruskan butiran terbabit.

Katanya, jumlah itu adalah mereka yang sudah bersedia untuk dibawa pulang.

“Misi HADR-Wuhan kedua ini akan diuruskan sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semua akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepemimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk pemantauan 14 hari.

“Saya faham mereka berdepan dengan masalah logistik kerana ada yang bukan dari Wuhan.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan jauh dari tempat mereka dan yang ada itu memang bersedia kerana negara lain ada dua misi bantuan untuk bawa pulang (rakyat mereka).

“Ini misi kedua. Misi ketiga belum ditentukan kerana ini mungkin misi terakhir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit COVID-19, hari ini.

Pada 4 Februari lalu, seramai 133 individu masing-masing 107 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung di bandar raya dalam wilayah Hubei, selain 12 kru pesawat, lapan petugas misi HADR dan enam pegawai Kedutaan Malaysia dari Beijing, dibawa pulang dari Wuhan.

Sebaik tiba, penumpang dan kru pesawat AK8264 berkenaan terus dibawa ke ADU KLIA untuk tapisan kesihatan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, tiada kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes COVID-19 dilaporkan kekal 22 kes.

Katanya, hanya lima kes masih dirawat di wad manakala bilangan kes yang dibenarkan keluar dari wad adalah 17.

“Daripada lima kes yang masih dirawat itu, tiga pesakit di di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan seorang di Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Malaysia masih berada pada fasa ‘early containment’ iaitu tiada penularan meluas antara satu individu kepada individu yang lain (H2H transmission), tiada kes sporadik dikesan dalam komuniti, tiada kes kematian direkodkan, masih mampu untuk ditangani dengan kapasiti dan keupayaan sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dua pemeriksaan ulangan terhadap wanita warga Amerika Syarikat berusia 83 tahun yang juga penumpang kapal persiaran Westerdam yang sebelum ini dirawat di HSB didapati negatif.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu masih dirawat kerana tidak sihat dan mempunyai simptom.

Berita Harian X