Ahad, 23 Februari 2020 | 12:09pm
UNDANG-undang menetapkan status pengganas bagi mana-mana kumpulan dikaji setiap enam bulan. FOTO Arkib NSTP
UNDANG-undang menetapkan status pengganas bagi mana-mana kumpulan dikaji setiap enam bulan. FOTO Arkib NSTP

Peguam Negara tidak persoal kuasa Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan beliau tidak mempersoal kuasa menteri dalam negeri untuk mengklasifikasikan mana-mana kumpulan sebagai pengganas.

“Kenyataan menteri dalam negeri adalah tepat. Beliau memiliki prerogatif untuk mewartakan atau membatalkan warta bagi mana-mana individu atau kumpulan,” kata Tommy seperti dilaporkan portal The Malaysian Insight, semalam.

Bagaimanapun, jelasnya, kenyataannya sebelum ini hanya membangkitkan mengenai klausa dalam Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh menjejaskan kes berkenaan.

Seksyen itu memperuntukkan supaya status pengganas bagi mana-mana kumpulan dikaji setiap enam bulan.

Dalam kenyataan Peguam Negara sebelum ini, Tommy menjelaskan, pewartaan mana-mana kumpulan boleh dikekalkan, jika kajian semula itu mendapati tindakan atau kecenderungan kumpulan itu kepada keganasan berterusan.

Sebaliknya, warta itu perlu dibatalkan jika tindakan sedemikian sudah berhenti atau entiti terbabit sudah hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan pihaknya kekal mengklasifikasikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas sejak 12 November 2014.

Tegas Muhyiddin, kementeriannya memiliki asas untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri,” kata Muhyiddin dalam kenyataan, semalam.

Berita Harian X