Ahad, 23 Februari 2020 | 12:35pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP

Pasir Gudang rintis sistem amaran awal pencemaran udara

PASIR GUDANG: Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama di negara ini dilengkapi sistem pengawasan yang akan memantau kualiti udara pada masa nyata (real time) bagi memberi amaran awal jika berlaku insiden pencemaran.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata sistem amaran awal bernilai RM6.9 juta itu turut dilengkapi alat penggera untuk pengesanan bahan pencemar berbahaya dalam udara.

Beliau berkata, sistem itu mampu memaklumkan pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) secara automatik sekiranya berlaku pencemaran udara bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil segera terhadap punca insiden.

“JAS memasang 25 stesen Photo Ionization Detector (PID) di 25 lokasi berbeza, termasuk berhampiran sekolah dan kawasan ditetapkan sekitar Pasir Gudang.

“Selain itu, enam unit Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) dan dua unit bergerak Gas Chromatography - Mass Spectroscopy (GCMS) serta Gas Chromatography - Flame Ionozation Detector (GCFID) yang mula beroperasi bulan lalu, turut ditempatkan bagi memantau kualiti udara sepanjang masa.

“Sistem ini sudah siap dipasang sepenuhnya sejak bulan lalu dan kini menjalani tempoh penyesuaian. Kita menjangkakan bacaan kualiti udara di 25 lokasi PID terbabit disiarkan kepada umum melalui laman web JAS mulai April depan bagi rujukan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat JAS Cawangan Pasir Gudang di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, hari ini. selepas meninjau operasi stesen PID yang terletak di Stadium MPGG.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, JAS Johor turut melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kilang dan premis di sekitar Pasir Gudang bagi memastikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipatuhi sepenuhnya.

“Sebanyak 664 pemeriksaan dijalankan, tahun lalu, meningkat 44 peratus berbanding 460 pada 2018.

“Sebanyak 769 tindakan notis, kompaun, sitaan dan pendakwaan di mahkamah dilaksanakan, tahun lalu, meningkat 692 peratus berbanding hanya 97 tindakan berkenaan diambil pada 2018,” katanya.

Berita Harian X