Ahad, 23 Februari 2020 | 11:49pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada majlis bersama penyokong menunaikan solat maghrib di perkarangan rumah di Bukit Segambut.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada majlis bersama penyokong menunaikan solat maghrib di perkarangan rumah di Bukit Segambut.

Anwar, TPM menghadap Agong petang esok

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengemukakan perkembangan mengenai cubaan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, esok.

Sembah menghadap pada jam 2.30 petang esok, selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika mengesahkan perkara itu berkata, agenda sembah menghadap sebelum ini sepatutnya sekadar membincangkan keadaan politik semasa dan hal ehwal negara.

“Sudah tentu, perkembangan politik semasa akan beliau bincangkan dengan baginda,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah Anwar di sini, hari ini.

Ditanya gerakan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang, Farhash menaruh kepercayaan usaha itu belum berjaya kerana tiada pengumuman rasmi mengenainya dibuat secara umum.

Meskipun berdepan cabaran sedemikian dan cubaan pengkhianatan secara dalaman, beliau berkata PKR masih mendapat sokongan utuh daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

“Semangat kekal tinggi dan percaya rakyat masih bersama kita, apa pun ini (cubaan tukar kerajaan) adalah pertimbangan serta budi bicara Agong.

“Kalau betul gerakan ini sudah berjaya tentu mereka sudah umum, tapi setakat ini, kita masih tidak dengar apa-apa.

“Kita tunggu esok bagaimana perkembangannya, setakat ini PKR masih ok, cuma ada satu dua yang ‘nakal’,” katanya.

Mengulas tindakan Anwar keluar dari rumahnya, Farhash menjelaskan Ahli Parlimen Port Dickson itu mengadakan mesyuarat khas bersama AMANAH dan DAP, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi pertemuan terbabit.

Berita Harian X