Ahad, 23 Februari 2020 | 11:56pm
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Kita teruskan agenda reformasi' - Azmin

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan pasukannya akan meneruskan perjuangan merealisasikan agenda reformasi di negara ini.

Beliau yang kekal mengunci mulut mengenai pertemuannya dengan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan pihaknya akan memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan menikmati kemakmuran.

“Insya-Allah kita akan teruskan perjuangan melaksanakan agenda reformasi dan membangunkan negara serta memberikan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Sheraton di sini, malam tadi.

Diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa berlaku pengkhianatan dalam parti itu hari ini, Mohamed Azmin hanya mengucapkan terima kasih kepada pemberita.

“Terima kasih. Terima kasih semua yang hadir,” katanya ringkas, sebelum mengulangi jawapan sama ketika ditanya mengenai hasil pertemuan dengan UMNO, PAS dan BERSATU.

Terdahulu, Mohamed Azmin bertemu dengan penyokongnya selama kira-kira sejam dalam satu pertemuan tertutup di hotel itu, sebaik selesai Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen yang dihadiri pimpinan utama UMNO, BERSATU dan PAS.

Antara yang hadir termasuk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

Diminta mengulas pertemuan dengan penyokongnya selepas majlis makan malam itu, Mohamed Azmin menyifatkannya sebagai ‘sangat baik’.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X